Jualan Harry_Potter_and_the_Deathly_Hallows

Pada 21 Julai 2007, kesemua edisi bahasa Inggeris, kecuali untuk edisi Amerika Syarikat dan Kanada telah mula diedarkan satu minit selepas tengah malam iaitu pada 12.01 pagi mengikut zon masa musim panas Eropah Timur. Manakala edisi Amerika Syarikat dan Kanada pula dilepaskan pada 12.01 pagi mengikut zon masa mereka. Ia telah diedarkan ke hampir 93 buah negara dan buku tersebut telah menduduki tempat teratas dalam senarai buku jualan terbaik untuk Amazon.com dan Barnes and Noble dalam tempoh beberapa jam sahaja setelah tarikh pengeluaran diumumkan pada 1 Februari 2007. Pada Julai 2007, sebuah syarikat akhbar negara Britain, The Daily Telegraph melaporkan bahawa buku tersebut telah dibeli oleh lebih daripada 10 % populasi negara Britain dalam tempoh lima hari selepas pelepasan.

Pembekal seperti Amazon.com, Barnes & Noble, dan Borders telah melaporkan bahawa buku tersebut telah ditempah melebihi apa yang mereka pernah terima sebelum ini. Pihak Amazon.com juga menyatakan bahawa mereka telah menerima tempahan awal paling banyak buku tersebut hingga mencecah 2.2 juta buah memecahkan rekod yang dicatat oleh buku sebelumnya iaitu sebanyak 1.5 juta buah. Pihak Scholastic mengumumkan bahawa mereka telah mendahulukan cetakan awal sebanyak 12 juta salinan.

Pada hari pertama jualan buku tersebut, ia telah terjual sebanyak 11 juta buah di Britain dan Amerika Syarikat dan memecahkan rekod 9 juta salinan yang telah dicatatkan oleh buku yang keenam, Harry Potter dengan Putera Berdarah Kacukan. Di Amerika Syarikat, 8.3 juta buah buku tersebut yang berkulit keras telah dijual dalam tempoh 24 jam memecahkan juga rekod yang dicatatkan oleh buku keenam yang mencatatkan sebanyak 6.9 juta buah. Tambahan lagi, 400 000 ribu salinan telah dijual di Jerman dalam tempoh 24 jam, 250 000 salinan di Belanda dan Belgium, 170 000 salinan di India dan 573 000 salinan di Australia. Sementara itu, di Kanada, 800 000 ribu buah telah terjual dalam tempoh dua hari. Barnes and Noble, sebuah syarikat buku rangkaian terbesar di Amerika Syarikat melaporkan 1.8 juta salinan telah dijual di sana termasuk 560 000 buah salinan pada tempoh satu jam yang pertama - pada satu kadar 150 buah salinan dijual dalam satu saat. Buku versi audio nya pula telah dijual sebanyak 225 000 pada dua hari yang pertama, mengikut Random House Audio's Listening Library. Borders menyatakan bahawa jualan buku sebanyak 1.2 juta salinan pada hari pertama telah memecahkan rekod yang dibuat oleh buku yang keenam iaitu sebanyak 850 000.

Dalam tempoh pengeluaran buku tersebut, syarikat pengeluar edisi Britainnya, Bloomsbury, telah kehilangan stok saham mereka sebanyak £151 juta pound sterling. Pada tahun kewangan terakhir di mana tiada buku Harry Potter yang dijual, keuntungan mereka telah jatuh sebanyak 75%.