Kerjaya Ifa_Raziah

Ifa Raziah semasa Konsert Mega Gegar Vaganza 2016 di Istana Budaya.

Bakat Ifa Raziah dalam bidang nyanyian mula dikesan sejak di zaman sekolah tadika lagi di mana pada hujung tahun, beliau telah menyertai acara persembahan dengan menyanyikan lagu Hingga Akhir Nanti nyanyian asal Kumpulan Alleycats. Ifa Raziah memulakan kerjayanya sebagai penyanyi apabila beliau menyertai sebuah program realiti televisyen terbitan negara Jepun iaitu Asia Bagus mewakili negara Malaysia di Singapura pada tahun 1992. Sewaktu Ifa dalam program tersebut, beliau telah berjaya menjadi juara pada bulan Mei 1992 sehingga melayakkan dirinya untuk mara ke peringkat akhir Asia Bagus yang berlangsung di Jepun. Namun, Ifa terpaksa menarik diri daripada program tersebut pada saat-saat akhir kerana beliau menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas kemunculan Ifa di kaca televisyen pada tahun 1992, Ifa disambar oleh syarikat rakaman Musicland lalu beliau berjaya mengeluarkan album studio solo penuh yang pertama iaitu I Miss You, I Love You pada tahun 1996. Album I Miss You I Love You merupakan album pop balada yang pertama Ifa Raziah sebelum Ifa mencabar dirinya untuk mengeluarkan album dangdutnya yang pertama iaitu Ser...Ser...Ser... (edaran syarikat rakaman BMG) pada tahun 1997 disebabkan Malaysia dilanda gelombang Dangdut. Album Ser...Ser...Ser... berjaya melonjakkan nama Ifa Raziah sebagai penyanyi dangdut yang cukup popular pada era itu. Oleh kerana irama muzik Dangdut pada ketika itu sangat popular, Ifa telah berjaya mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik 1998 menerusi single Ser...Ser...Ser.... Pada tahun yang sama juga (1998), beliau telah mula menceburkan diri dalam bidang lakonan dimana beliau mula membintangi drama bersiri ''Semarai'' yang pernah tercalon dalam Anugerah Skrin 1998 bagi kategori "Drama Terbaik" dan sehingga kini beliau masih lagi aktif dalam bidang lakonan biarpun sibuk dengan persembahan pentas diseluruh negara mahupun luar negara seperti Singapura dan Indonesia.

Menjelangnya era millenium 2000-an, irama muzik Dangdut semakin lama semakin pudar dek kerana munculnya aliran muzik etnik Arab dan padang pasir yang berfenomena di Malaysia. Ifa Raziah telah menubuhkan syarikat rakamannya sendiri iaitu Ifa Raziah Entertainment lalu berjaya mengeluarkan album studio solo penuhnya yang ketiga iaitu Gemerincing Rindu. Album Gemerincing Rindu juga berjaya menarik perhatian orang ramai kerana album tersebut berkonsepkan gabungan Pop Etnik Arab serta diselitkan sedikit elemen Dangdut (menerusi single Gemerincing Rindu). Pada tahun 2008, Ifa telah bekerjasama dengan penyanyi dan penggubah lagu, Cat Farish untuk mengeluarkan single Dangdut yang diberi judul Panas. Tidak lama selepas itu, single Panas sekali lagi berjaya melayakkan Ifa ke Separuh Akhir Muzik Muzik 2008 & berjaya mara ke peringkat akhir Hits 1 RTM pada tahun yang sama. Selain itu, beliau juga telah mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan TV dengan mengacara rancangan bualbicara Wanita Hari Ini selama tiga tahun bermula tahun 2008 hingga 2010. Seperti bidang lakonan, Ifa juga masih lagi aktif dalam bidang pengacaraan TV sehingga kini. Pada tahun 2011, beliau telah menceburkan diri pula dalam bidang lawak jenaka dimana beliau telah menyertai sebuah rancangan realiti hiburan terbitan ASTRO iaitu Maharaja Lawak Mega bersama dengan Kumpulan Syok dan berjaya memenangi Tempat Keempat untuk musim tersebut. Pada tahun 2012 pula, Ifa telah mengeluarkan single berentak pop iaitu Luar Biasa yang bertemakan "Kuasa Wanita" dan peniup semangat kepada kaum wanita yang sering diabaikan oleh kaum lelaki. Setelah beberapa tidak muncul dikaca TV dengan persembahan nyanyian, pada tahun 2014 menyaksikan kemunculan semula Ifa dalam bidang nyanyian dikaca TV apabila beliau menyertai program nyanyian terbitan Astro iaitu Gegar Vaganza lalu beliau berjaya memenangi Tempat Kelima sewaktu di peringkat akhir program nyanyian tersebut. Rentetan daripada kemenangan Ifa dalam program nyanyian tersebut, syarikat rakaman antarabangsa Sony Music Malaysia telah mengikat kontrak bersama beliau untuk mengeluarkan album studio solo penuhnya yang keempat bermula Oktober 2015 dan Ifa juga merupakan artis dangdut pertama yang bernaung di bawah syarikat rakaman antarabangsa itu.[9].

Menjelang awal tahun 2016, Ifa Raziah telah terlibat dengan konsert berskala besar iaitu Konsert Mega Gegar Vaganza Siaran Langsung Dari Istana Budaya hasil kerjasama pihak ASTRO dan pihak Istana Budaya.[10] Pada awal Mei 2016 pula, beliau telah bekerjasama dengan penyanyi hip hop terkenal Malaysia iaitu DJ Fuzz bagi mengeluarkan single dangdut yang bertajuk Terus Terang duet bersama kumpulan Lawa Nie Geng. Malahan tidak lama selepas itu Ifa juga telah mengeluarkan single dangdut raya iaitu Dangdut Lebaran bersama ahli-ahli Persatuan Bintang Dangdut Malaysia lalu mencatat sejarah kerana berjaya menggabungkan 25 penyanyi dangdut dalam 1 lagu. Pada 22 September 2016 sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-41, beliau bersama syarikat rakaman Sony Music Malaysia telah melancarkan single Terus Terang di Flora Terrace Hampshire Place, Kuala Lumpur.

Sejurus selepas sahaja pelancaran single tersebut, Ifa Raziah muncul di program realiti nyanyian yang popular di Indonesia iaitu D'Academy Asia Musim Ke-2 pada bulan Oktober sehingga Januari 2017 sebagai salah seorang komentator yang mewakili negara Malaysia.[11] Berbekalkan single Terus Terang ini juga, beliau mahu menembusi pasaran negara benua Oceania iaitu Australia.

Dengan kejayaan Ifa Raziah melebarkan sayapnya di Indonesia, kini dengan rasminya beliau mempunyai 2 kelab peminat yang tegar iaitu IfaRaziahDivas (Malaysia) dan IfaRaziahDivasIndo (Indonesia). Pada bulan Mei 2017, Ifa Raziah telah masuk semula ke studio rakaman bagi merakamkan single kedua yang dijadualkan bakal dipasarkan di Indonesia menjelang selepas musim Hari Raya Aidilfitri.[12] Namun begitu, Ifa bersama syarikat rakamannya Sony Music Malaysia masih lagi mencari material yang baru untuk diangkat menjadi single dan mampu ditularkan kerana beliau berpendapat bahawa pada hari ini sememangnya musim tular jadi beliau juga ingin mengikut trend semasa. [13]

Pada bulan Ramadan tahun 2019, Ifa telah melancarkan lagu raya iaitu YaYaYa Hari Raya duet bersama penyanyi nasyid terkenal Hafiz Hamidun. Kemudian sebulan selepasnya itu Ifa juga telah melancarkan lagu tema rasmi festival jualan Star Vendors iaitu Starlela duet bersama penyanyi sensasi Zizi Kirana dan Bella Astillah.

Rujukan

WikiPedia: Ifa_Raziah http://www.astroawani.com/video-hiburan/ifa-raziah... http://www.gempak.com/artikel/1942/konsert-mega-ge... http://www.imdb.com/name/nm5269412/ http://www.bharian.com.my/node/236917 http://www.bharian.com.my/taxonomy/term/1303/2017/... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/ifa-raziah-g... http://m.utusan.com.my/hiburan/selebriti/cari-lagu...