Sejarah Ingatan_kilat

Ingatan kilat (kedua-dua jenis NOR dan NAND) dicipta oleh Dr. Fujio Masuoka semasa bekerja di Toshiba pada tahun 1984. Menurut Toshiba, nama "kilat" (flash) telah dicadangkan oleh rakan sekerja Dr. Masuoka, Mr. Shoji Ariizumi, kerana proses pemadaman kandungan ingatan mengingatkannya kepada flash kamera. Dr. Masuoka mempersembahkan ciptaannya di dalam Mesyuarat Peranti Elektronik Antarabangsa 1984 IEEE (IEDM) yang diadakan di San Francisco, California. Intel telah melihat potensi besar bagi ciptaan tersebut dan memperkenalkan cip ingatan kilat NOR komersial pertama pada tahun 1988.

Ingatan kilat jenis NOR memerlukan masa operasi tulis/baca yang lebih lama, tetapi menyediakan bas alamat dan data sepenuhnya, membolehkan operasi capaian rawak pada mana-mana lokasi ingatan. Faktor ini menjadikannya sebagai pengganti sesuai bagi cip ROM lama, yang digunakan untuk menyimpan kod aturcara yang jarang diperlukan untuk dikemaskini, seperti BIOS komputer. Ia tahan sekitar 10,000 sehingga 1,000,000 kitar padam. Ingatan kilat NOR adalah asas bagi media storan mudah alih berasaskan ingatan kilat yang terawal; CompactFlash asalnya menggunakan ingatan jenis tersebut sebelum beralih kepada jenis NAND yang lebih murah.

Toshiba mengumumkan ingatan kilat NAND di ISSCC pada tahun 1989. Ia mempunyai masa operasi padam/tulis yang lebih pantas, serta memerlukan luas cip sesel yang lebih kecil, menghasilkan ketumpatan storan yang lebih besar serta kos sebit yang lebih murah daripada ingatan kilat NOR; ia juga tahan 10 kali lebih lama daripada ingatan kilat NOR. Walau bagaimanapun, antaramuka I/O bagi ingatan kilat NAND tidak menyediakan bas alamat luaran capaian rawak, sebaliknya data mestilah dibaca blok-demi-blok, dengan saiz blok antara beratus sehingga beribu bit. Ia menjadikan ingatan kilat NAND tidak sesuai untuk menggantikan ROM aturcara, memandangkan kebanyakan pemproses mikro dan pengawal mikro tidak boleh melancarkan program secara terus tanpa capaian rawak; walau bagaimanapun, ingatan kilat NAND adalah serupa seperti storan sekunder lain seperti cakera keras dan storan optikal, dengan itu menjadikannya sesuai sebagai media storan seperti kad ingatan. Media storan berasaskan ingatan kilat NAND ialah SmartMedia, diikuti dengan yang lain seperti MultiMediaCard, Secure Digital, Memory Stick dan xD-Picture Card. Generasi terbaru kad ingatan seperti RS-MMC, miniSD dan microSD, serta Intelligent Stick, tampil dengan saiz yang sangat kecil; kad microSD hanya bersaiz 1.5 cm², dengan ketebalan kurang daripada 1 mm.