Persaingan Intel_Corporation

Pada 1980-an, Intel merupakan antara 10 penjual semikonduktor utama (ke-10 pada 1987) di dunia. Pada 1991, Intel menjadi pembuat cip terbesar mengikut hasil dan ini kekal sehingga kini. Syarikat semikonduktor utama lain termasuklah AMD, Samsung, Texas Instruments, Toshiba dan STMicroelectronics.

Dakwaan anti-persaingan oleh badan kawal selia

Kesatuan Eropah

Pada Julai 2007, Suruhanjaya Eropah menuduh Intel melakukan amalan anti-persaingan, kebanyakannya terhadap AMD.[2] Dakwaan ini, seawal 2003, termasuklah memberikan harga pilihan kepada pembuat komputer yang membeli kebanyakan atau keseluruhan cip mereka daripada Intel, membayar pembuat komputer untuk menangguhkan atau membatalkan produk menggunakan cip AMD, dan membekalkan cip di bawah harga kos kepada kerajaan dan institusi pendidikan.[3] Intel menjawab bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan sebaliknya menyatakan tindak tanduknya cuma mesra pengguna.[4] Peguam Bruce Sewell pula membalas bahawa Suruhanjaya tersebut telah salah faham sesetengah andaian fakta terhadap kos penentuan harga dan pengilangan.[5]

Pada Februari 2008, Intel menyatakan bahawa pejabatnya di Munich telah diserbu oleh pengawal selia Kesatuan Eropah. Intel melaporkan yang ia bekerjasama dengan para penyiasat.[6] Intel boleh didenda sehingga 10% hasil tahunannya, jika didapati bersalah menghalang persaingan.[4] AMD kemudiannya melancarkan sebuah tapak web berkenaan dakwaan ini.[7][8] Pada Jun 2008, EU memfailkan dakwaan baru terhadap Intel.[9] Seterusnya pada Mei 2009 EU mendenda Intel sebanyak €1.06 billon (AS$1.44bn) untuk amalan anti-persaingannya, suatu rekod baru. Intel didapati membayar beberapa syarikat, termasuk Acer, Dell, HP, Lenovo dan NEC,[10] jika mereka hanya menggunakan cip Intel dan oleh itu memudaratkan syarikat cip lain termasuklah AMD.[10] Suruhanjaya Eropah menyatakan Intel telah dengan sengaja bertindak menghalang persaingan dalam pasaran cip komputer dan dengan itu melakukan "pencabulan serius dan berterusan terhadap peraturan antitrust EU".[10] Di samping denda tersebut, Intel juga diarahkan menghentikan segera amalan anti-persaingannya.[10] Intel telah menyatakan yang ia akan merayu keputusan Suruhanjaya itu.[10].