Plot Interlok

Secara ringkasnya, penceritaan di dalam novel ini berkisar di dalam negeri Pulau Pinang pada awal 1900-an semasa pemerintahan Britain ke atas Malaya. Novel ini diceritakan daripada kaca mata tiga karakter, dinamakan, Seman, Chin Huat dan Maniam. Tajuk buku ini berasal dari perkataan Inggeris iaitu "interlock" yang berhubungkait dengan memanca kehidupan tiga karakter utama di dalam novel pada bab akhir.[3]

Anak Kampung Nyiur Condong

Maniam yang sudah meninggalkan isteri dan anaknya 21 tahun dahulunya, didatangi oleh Seman, anak kepada kawan lamanya yang mencari tempat tinggal dan pekerjaan di sekitar kebun getah Maniam setelah dihalau oleh Cing Huat, si "Cina Panjang" yang merampas tanahnya di Kampung Nyiur Condong. Yew Seng yang baru dihalau dari rumah setelah lama bersengketa dengan bapanya, Cing Huat tentang hubungannya dengan orang Melayu, khususnya Lazim, nekad untuk menjadi kuli lombong dekat Cangkat Janggus; di sinilah dia mengenali Kong Beng selaku kepala kuli di situ.

Seman pulang ke kampung halaman yang ditinggalkannya dua tahun setengah, lalu mendapati bahawa kekasih lamanya, Upik sudah berkahwin dengan Lazim, tetapi tidak putus asa dan meminta pertolongan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat Ranggi pula. Mat Ranggi mula-mula tidak menerima hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia bersetuju setelah mengakui bahawa dia terlalu mementingkan harta benda selama ini. Sebaik sahaja berkahwin dengan Gayah, Seman memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti kerja kerana hendak pulang ke kampung itu untuk berumah tangga.

Zaman Jepun

Dengan ketibaan penjajah Jepun, seluruh Tanah Melayu hidup dalam ketakutan, khususnya kaum Cina yang bertelagah dengan bangsa Jepun di rantauan dan sering diancam balas dendam Melayu ketika berniaga. Apabila kedai Cing Huat dirompak pada suatu malam, isteri dan anak perempuannya hilang, tetapi dia berjaya diselamatkan oleh Seman yang membawa mereka berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus. Pada suatu hari, Cing Huat disoal oleh tentera Jepun mengenai Yew Seng yang didakwa menyertai pemberontak komunis pimpinan Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew Seng balik ke rumahnya pada suatu malam lalu berjanji kepada bapanya untuk mencari Poh Eng yang hilang. Yew Seng berjaya berbuat demikian, pada malam yang sama kejadian penculikan pengurus ladang Jepun berlaku.

Kehilangan pengurus itu menyebabkan Maniam, Mak Limah dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus ditangkap lalu diseksa oleh tentera Jepun. Mujurlah, Maniam dibebaskan oleh anaknya sendiri iaitu Inspektor Ramakrisynan yang bertugas di situ, lantas meminta bantuan daripada anaknya itu supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula naik berang apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng selama ini.

Zaman Jepun mendatangkan keperitan hebat kepada para petani yang dipaksa menjual hasil tani dengan harga murah kepada pihak penjajah susah sambil menerima serangan komunis yang datang membunuh pengurus ladang itu. Lazim turut ditangkap oleh kerajaan penjajah kerana menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.

Zaman Darurat dan Kemerdekaan

Setelah Jepun berundur, British kembali ke Tanah Melayu lalu berdepan dengan pemberontak komunis yang semakin mengganas dan bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Tanah Melayu, termasuk mengambil alih balai polis dan menangkap Inspektor Ramakrisynan kerana didakwa bersekongkol dengan Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai polis itu, lalu terus membebaskan kawannya itu. Lazim, bersama Mail Jambul dan Berahim mengajak orang-orang Melayu agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh British. Kemudian, darurat diisytiharkan disebabkan ancaman puak komunis terhadap penjajah British dengan melumpuhkan ekonomi jajahan ini terlebih dahulu dalam langkah membebaskan negara.

Yew Seng dan Kong Beng kembali berjuang bersama komunis, dan terlibat dalam operasi menyerang hartanah pertanian milik orang putih dan membunuh pemilik-pemiliknya. Cing Huat telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina di tempat tinggalnya demi membersihkan nama orang Cina akibat dakyah komunis serta memperjuangkan kebajikan kaum Cina. Kaum India juga mempunyai pertubuhan yang sedemikian itu, dipimpin oleh seorang guru bernama Raman yang pernah bertugas di kebun Cangkat Lima. Maniam diculik oleh segerombolan komunis lalu hampir dibunuh, mujurnya dia diselamatkan oleh Poh Eng sementara pasukan keselamatan pimpinan Inspektor Ramakrisynan berjaya menumpaskan gerombolan pengganas komunis itu yang dianggotai oleh Yew Seng.

Yew Seng dan Poh Eng menginsafi perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis. Penduduk pekan Simpang Empat pula berasa gembira kerana tidak lama lagi Tanah Melayu akan merdeka. Seman dan isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka datang ke rumahnya kerana Maniam hendak berjumpa dengan mereka.

Rujukan

WikiPedia: Interlok http://www.cwo.com/~lucumi/bigotry.html http://www.dawama.com/index.php?ch=11&pg=381&ac=11... http://www.malaysiakini.com/news/152018 http://www.malaysiakini.com/news/158883 http://www.malaysiakini.com/news/159519 http://www.thehindu.com/news/international/article... http://www.bharian.com.my/bharian/articles/NovelIn... http://www.mmail.com.my/content/58367-interlok-wit... http://www.mmail.com.my/content/61488-arrested-9-b... http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/20...