Kontroversi Interlok

Apabila novel Interlok dikeluarkan dalam bentuk Edisi Pelajar untuk Komponen Sastera (Komsas) Bahasa Melayu Tingkatan Lima untuk tahun 2011, timbulnya perbalahan besar apabila sebilangan besar golongan India membantahnya kerana isi kandungannya yang merangkumi unsur-unsur sistem kasta yang menyentuh perasaan mereka, terutamanya petikan bahawa kaum India yang datang menaiki sebuah kapal ke Tanah Melayu terdiri daripada kasta pariah dan pasangan beragama Hindu yang berkahwin dikatakan menyembah Dewa Kama (Dewa Nafsu).[4] Konsep pariah digambarkan dalam kitab Hindu, Manu Smirti yang termasuk perintah mengkasi lelaki kasta rendah yang berani bergaul dengan wanita kasta lebih tinggi.[5][3]

Pada 29 Disember 2010, Kongres India Malaysia(MIC) meminta supaya Edisi Pelajar Interlok disunting isi kandungannya. Timbalan Presidennya, Datuk Dr. S. Subramaniam mengujar, "Oleh itu saya takut bahawa jika tiada perubahan dibuat kepada kandungan yang ada di dalam buku itu, ia akan memberi satu pandangan salah kepada pelajar yang akan menggunakan buku itu. Ia akan diajar kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa... ini akan mengurangkan pemahaman mereka tentang apa yang sebenarnya berlaku di kalangan masyarakat India pada masa sekarang."[6]

Hasilnya, pada 15 Januari 2011, Interlok telah dikeluarkan dari silibus berikutan satu perbincaangan di antara Kementerian Pelajaran Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka,[7] namun, ditarik balik pada Januari 28, 2011 berikutan satu perbincangan di antara Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, presiden MIC G. Palanivel dan timbalan presiden MIC, S. Subramaniam serta Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.[8]

Pada Januari 20 2011, 9 lelaki dipercayai ahli HINDRAF, telah ditangkap oleh Malaysia setelah meletakkan poster-poster yang menggesa ini diharamkan.[9]

Pada 27 Januari 2010, Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa buku novel Interlok kekal dalam komponen sastera Tingkatan Lima dengan sedikit perubahan kepada kandungan yang menyinggung perasaan kaum India, serta mengumumkan bahawa sebuah panel bebas ditubuhkan untuk menyediakan usul untuk meminda kandungan novel itu.[10]

Pada 27 Februari 2011 satu demonstrasi haram telah diadakan dan dianjurkan oleh HINDRAF yang menentang kemasukan novel ini di dalam kurikulum sekolah di Kuala Lumpur, 109 yang terlibat ditangkap.[11]

Pada 17 Mac 2011, sumber berita menyiarkan bahawa panel khas Interlok itu gagal menyelesaikan tugasnya dan didakwa sudah bubar pada 4 Mac, apabila tiga orang ahli berketurunan India menarik diri daripada panel tersebut.[12] Menurut wakil-wakil India yang menganggotai panel itu, pihak mereka telah mencadangkan supaya 106 perkara dipinda dalam novel itu[13], tetapi pada awalnya, Kementerian Pelajaran hanya menerima 19 pindaan tersebut, termasuk pengguguran perkataan "pariah"[14][15], tiga perkara yang menyentuh sistem kasta[14][15], dan ungkapan "orang berkulit hitam"[14][15]; penukaran istilah "tuhan" kepada "dewa"[14][15]. Tambah Tan Sri Muhyiddin Yassin, "Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai."[14][15] Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan bahawa panel tersebut bersetuju supaya tujuh perkara disisipkan errata untuk "membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India."[14][15] Dengan pindaan itu, Kementerian Pendidikan tetap dengan pendirian supaya novel Interlok digunakan sebagai bahan bacaan Komsas Tingkatan 5.[14][15]

Pada Disember 2011, tidak lama sebelum musim persekolahan 2012, kerajaan akhirnya mengumumkan penarikan balik Interlok daripada sukatan pelajaran komponen sastera.[16]

Rujukan

WikiPedia: Interlok http://www.cwo.com/~lucumi/bigotry.html http://www.dawama.com/index.php?ch=11&pg=381&ac=11... http://www.malaysiakini.com/news/152018 http://www.malaysiakini.com/news/158883 http://www.malaysiakini.com/news/159519 http://www.thehindu.com/news/international/article... http://www.bharian.com.my/bharian/articles/NovelIn... http://www.mmail.com.my/content/58367-interlok-wit... http://www.mmail.com.my/content/61488-arrested-9-b... http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/20...