Intoleransi_laktosa

Intoleransi laktosa merupakan ketidakupayaan dewasa untuk mencerna laktosa, iaitu sejenis gula yang terdapat dalam susu dan sesetengah hasil tenusu hingga mengalami kesan sampingan. Ia disebabkan oleh kekurangan laktase, atau hipolaktasia. Kekurangan laktase kongenital menyebabkan bayi tidak terima susu walaupun susu manusia.Individu yang tidak toleran laktosa kekurangan takat laktase, iaitu sejenis enzim yang memangkin hidrolisis laktosa menjadi glukosa dan galaktosa dalam sistem pencernaannya. Lazimnya ini menyebabkan gejala-gejala yang termasuk perut kembung dan kejang, flatulens, cirit-birit, rasa loya, borborigmi (perut berderum), ataupun muntah[1] setelah mengambil laktosa yang cukup banyak. Adalah biasa bagi penghidap keradangan usus mengalami gejala-gejala gastrousus setelah mengambil laktosa, namun sejauh mana terdapatnya kekurangan laktasa dalam golongan ini belum dikaji dengan menyeluruh.[2][3]Kebanyakan mamalia lazimnya berhenti menghasilkan laktase, dan oleh itu berhenti menerima laktosa, selepas bercerai susu,[4] tetapi sesetengah populasi manusia telah mengembangkan keterusan laktase, iaitu pengeluaran laktase berlanjutan hingga usia dewasa. Kajian mendapati bahawa intoleransi laktosa lebih umum di dunia daripada keterusan laktase, malah variasi ini adalah genetik. Kajian terhadap 21 orang perempuan berketurunan Afrika-Amerika mendapati bahawa 75% daripada mereka mengalami penyusutan dalam aktiviti laktase sewaktu remaja.[5] Kekerapan intoleransi laktosa adalah 5% di Eropah Utara ke 90% di sesetengah negara Afrika dan Asia.[6] Taburan ini kini dipercayai berpunca daripada pemilihan semula jadi yang menyebelahi individu yang berketerusan laktase dalam budaya-budaya di mana terdapatnya hasil tenusu sebagai sumber makanan.[7]