Sejarah Islam_di_Ireland

Persatuan Islam pertama di Ireland ditubuhkan pada 1959. Persatuan ini ditubuhkan oleh pelajar-pelajar Muslim yang belajar di Ireland dan ia digelar Dublin Islamic Society (kemudiannya digelar Islamic Foundation of Ireland). Pada ketika itu, tidak ada masjid di Dublin. Para pelajar terpaksa menggunakan rumah-rumah mereka dan kemudiannya, menyewa dewan-dewan untuk sembahyang Jumaat dan sembahyang sunat AidilFitri. Pada tahun 1969, pelajar-pelajar tersebut mula menghubungi saudara mara mereka dan beberapa persatuan-persatuan Islam dan negara-negara Muslim dengan tujuan mengutip derma untuk membina sebuah masjid di Dublin. Pada tahun 1976, masjid pertama dan pusat Islam di Ireland dibuka di sebuah bangunan empat tingkat beralamat 7 Harrington Street, Dublin 8. Antara mereka yang memberi sumbangan kepada projek masjid dan pusat Islam tersebut adalah Raja Arab Saudi iaitu arwah Raja Faisal. Pada tahun 1981, Kementrian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait menaja imam sepenuh masa untuk masjid tersebut.

Beberapa tahun selepas penubuhan masjid dan pusat Islam yang pertama di Dublin, masjid tersebut menjadi terlalu kecil untuk menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah. Umat Islam yang menjaga persatuan tersebut memulakan kempen kedua untuk mengutip sumbangan bagi membina masjid yang lebih besar. Pada tahun 1983, bangunan Dublin Mosque dan Islamic Center yang wujud pada masa sekarang dibeli, diubahsuai dan pusat persatuan telah dipindah dari Harrington Street ke 163 South Circular Road, Dublin 8.

Situasi yang serupa sedang berlaku di Cork, di mana banyak dewan sembahyang terletak di kawasan-kawasan perumahan. Buat masa sekarang, umat Islam Cork sedang menggunakan sebuah kawasan perindustrian, sementara menunggu dana untuk membina sebuah masjid baru.

Pada tahun 1992, Moosajee Bhamjee menjadi Muslim Teachta Dála, iaitu sebuah bukti kepada integrasi komuniti Islam, yang pertama (dan satu-satunya hingga sekarang).