Pembinaan Istana_Bukit_Serene

Istana Bukit Serene mula dibina pada tahun 1933 dan disempurnakan pembinaannya pada 1939. Istana ini adalah milik kerajaan negeri Johor tetapi diberikan sebagai hadiah kepada Almarhum Sultan Ibrahim bersempena dengan ulangtahun pemerintahan baginda sebagai Sultan Johor.

Istana Bukit Serene yang berbumbung hijau ini terletak di atas Bukit Serene yang menghadap Teluk Danga dan terletak dalam keluasan seluas 121.4 hektar. Ia juga mempunyai menara setinggi 35 meter dan mudah dilihat dari Teluk Danga atau turut dikenali sebagai Danga Bay. Istana ini juga menjadi salah satu daripada mercu tanda tarikan pelancong di Johor Bahru. Kawasan istana ini mempunyai sebuah taman yang indah dan kerap menjadi tapak majlis keramaian. Kawasan istana dikawal oleh Pasukan Askar Timbalan Setia Johor ataupun The Johor Military Force.

Terdapat lima buah bilik di Istana Bukit Serene tetapi bilik-bilik tersebut tidak mempunyai nama khusus dan diberi gelaran tidak rasmi atas kegunaan biasa. Oleh itu, semasa pemeritahan Sultan Ibrahim Ismail, kamar beradu Sultan Johor sering dirujuk sebagai bahagian sayap sultan manakala sayap yang satu lagi digelar sebagai sayap Tuanku Raja Zarith. Tiga buah lagi bilik adalah untuk kegunaan paduka anakanda-anakanda Sultan Johor dan sebuah ruang umum yang khusus untuk kegunaan keluarga diraja. Selain lima buah bilik yang berada di tingkat atas itu, terapat juga perpustakaan, pejabat sultan dan bilik persidangan di tingkat bawah.[1]