Istana Jahar yang terletak berhampiran dengan
Istana Balai Besar adalah di antara istana-istana yang menarik yang terdapat di sekitar
bandar Kota Bharu. Malah Istana Jahar ini juga telah mula dibina dalam masa pemerintahan
Sultan Muhammad II (1837-1886) setelah pembukaan
bandar Kota Bharu dan pembinaan
Istana Balai Besar.Tujuan pembinaan
Istana Jahar oleh
Sultan Muhammad II ini adalah untuk dikurniakan kepada cucundanya yang bernama Long Kundur Bendahara. Berikutan kemangkatan
Sultan Muhammad II pada tahun 1886, takhta
negeri Kelantan diganti oleh Long Sulong yang memerintah dengan gelaran
Sultan Ahmad. Pada masa pemerintahan baginda
Istana Jahar diteruskan pembinaannya sehingga ia siap.Pada tahun 1889, setelah tiga tahun di atas takhta Kerajaan,
Sultan Ahmad mangkat dan digantikan oleh Long Kundur Bendahara dengan gelaran
Sultan Muhammad III. Baginda
Sultan Muhammad III telah menjadikan
Istana Jahar sebagai tempat persemayaman baginda, selain daripada
Istana Balai Besar.Pada masa pemerintahan Sultan Muhamad IV, baginda telah menjadikan
Istana Balai Besar sebagai tempat bersemayam baginda. Namun
Istana Jahar masih juga digunakan.
Istana ini tidak mempunyai nama sehinggalah pada tahun 1911 selepas Sultan Muhamad IV pulang daripada melawat
Singapura dan membaiki Istana ini. Istana ini diberi nama
Istana Jahar, mengambil sempena nama daripada sejenis pokok bunga yang menghiasi halaman
Istana Jahar. Istana ini kemudiannya dikurniakan kepada puteranya Tengku Ismail yang bergelar Tengku Seri Indera Mahkota.Selepas kemangkatan Sultan Muhamad IV pada tahun 1920, puteranya Tengku Ismail menggantikan baginda menaiki takhta Kerajaan
Kelantan bergelar
Sultan Ismail.
Sultan Ismail tidak bersemayam di
Istana Balai Besar sebaliknya bersemayam di
Istana Jahar iaitu istana yang dikurniakan oleh Almarhum ayahanda baginda.Sultan-sultan
Kelantan yang kemudian seperti Sultan Ibrahim (1944-1960) dan Sultan Yahya Petra (1961-1979) tidak lagi bersemayam di
Istana Jahar sebaliknya mempunyai istana sendiri.
Istana Jahar kini dijadikan sebagai
Muzium Diraja Negeri Kelantan.
Muzium ini mempamerkan sejarah kesultanan
Negeri Kelantan daripada zaman awal hinggalah kepada pemerintahan
Sultan Kelantan pada masa sekarang. Ruang pameran yang terdapat di bangunan Muzium ini dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti peralatan senjata, pakaian tradisi, dan hal-hal lain yang berkaitan dengan kesultanan. Walaupun telah dijadikan Muzium tetapi reka bentuk asal bangunan ini tetap dipelihara. Seni binanya yang unik dengan ukiran-ukiran yang cantik telah menyerikan lagi bangunan istana yang dijadikan muzium itu.
Istana Jahar yang terletak di sisi
Istana Balai Besar di tengah-tengah
bandar Kota Bharu adalah contoh warisan seni bina
Melayu yang indah dan menarik. Sekiranya anda berkesempatan berkunjung ke sini,
Istana Jahar dan istana-istana lain di sekitarnya jelas kelihatan di tengah-tengah bangunan baru dan moden. Namun pembangunan pesat kawasan sekitarnya tidak menjejaskan bangunan warisan bangsa yang banyak menyimpan rahsia sejarah.