Sejarah Jalan_Pintasan_Rawang

Lihat juga: Lebuhraya Rawang

Projek Jalan Pintasan Rawang FT37 merupakan penghidupan semula projek Lebuhraya Kuala Lumpur Arah Serendah (KLAS), juga dikenali sebagai Lebuhraya Kuala Lumpur–Rawang, yang dibatalkan susulan kesan Krisis Kewangan Asia 1997.[4] Projek tersebut sepatutnya dibina sebagai projek lebuh raya capaian terkawal yang dibina di sepanjang koridor Jalan Persekutuan 1, dengan LeKLAS Sdn. Bhd. dilantik sebagai syarikan konsesi dan pembina.[5]

Projek tersebut dihidupkan semula oleh kerajaan persekutuan pada tahun 2005 sebagai projek Jalan Pintasan Rawang berikutan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di Rawang.[1] Namun demikian, projek Jalan Pintasan Rawang dibina bukan sebagai lebuh raya tol capaian terkawal, tetapi sebagai lebuh raya kembar capaian terhad. Kontrak bagi kerja pembinaan lebuh raya berharga RM628 juta tersebut dianugerahkan kepada Syarikat Panzana Enterprise Sdn. Bhd.[4] Pembinaan Jalan Pintasan Rawang FT37 dimulakan pada 16 Julai 2005.[1]

Pembinaan projek Jalan Pintasan Rawang dibahagikan kepada dua peringkat. Peringkat pertama ialah kerja naik taraf Jalan Kuala Lumpur–Ipoh FT1 dua lorong sedia ada sepanjang 12.5 km dari Bandar Baru Selayang ke Taman Rimba Templer kepada lebuh raya kembar yang dikenali sebagai Lebuhraya Rawang FT1, siap pada tahun 2007.[4] Peringkat kedua ialah membina sebatang jalan pintasan serba baharu yang melencongkan lalu lintas terus daripada pusat bandar Rawang.

Pembinaan peringkat kedua ini mengambil masa yang lebih lama berikutan kebimbangan akan kesan alam sekitar oleh projek tersebut. Asalnya, laluan yang dirancang lebih panjang, dibina pada aras tanah sepenuhnya dan mungkin melalui Taman Warisan Negeri Selangor dan Taman Rimba Templer.[4] Susulan protes daripada pencinta alam sekitar serta tekanan daripada penduduk tempatan yang mahu projek tersebut diteruskan walaupun berdepan dengan isu alam sekitar, laluan jalan tersebut dialihkan dan direkabentuk semula, dan sebatang jejambat sepanjang 2.7 km dibina di sepanjang sempadan Taman Warisan Negeri Selangor untuk mengurangkan kesan yang dibawa oleh projek tersebut terhadap alam sekitar.[6] Melalui pendekatan pembinaan jejambat, kawasan hutan yang terjejas dikurangkan daripada 65 hektar kepada hanya 24 hektar.[1] Jalan Pintasan Rawang FT37 siap pada 21 November 2017, selepas 12 tahun pembinaannya.[2]

Berikutan masa pembinaannya yang sangat panjang, muncul satu berita palsu yang mendakwa kononnya majlis pembukaan Jalan Pintasan Rawang FT37 diadakan pada 15 November 2017 menjadi tular di media sosial pada 13 November 2017, yang mana ia dinafikan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia.[7] Sebaliknya, majlis pembukaan sebenar diadakan pada 28 November 2017.[1][2][4]