Penerangan Janatularif

Janatularif (bawah) dan Silla del Moro (atas), di atas bukit Sabika

Tapak masa kini

Janatularif hari ini menggabungkan unsur-unsur Nasariyah asal serta pelbagai unsur moden (terutamanya dalam rupa taman). Laluan pejalan kaki diturap dengan gaya tradisional Granada dengan mozek batu kerikil: batu putih dari Sungai Darro dan batu hitam dari Sungai Genil.[17]

Taman-taman luaran

Taman-taman Janatularif merangkumi tiga buah teres di lereng bukit, setiap satu berukuran kira-kira 35 meter lebar dan 250 meter panjang.[10] Dua teres yang terendah, di sebelah barat daya, mempunyai taman-taman pasar dan dusun. Dikenali hari ini sebagai Las Huertas, taman-taman ini sudah digunakan begini sejak abad ke-14.[7] Teres yang tertinggi menempatkan Jardines Nuevos ("Taman-taman Baru"), taman-taman abad ke-20 yang menuju ke istana-istana lama. Bahagian selatan taman ini direka oleh Francisco Prieto Moreno dan siap pada tahun 1951. Ia berdindingkan pokok-pokok sipres yang telah dipangkas, mempunyai kolam salib besar yang diilhamkan oleh taman Islam/Moor, bersama-sama dengan tumbuhan hiasan lain. Sebuah teater terbuka juga telah ditambahkan di sini pada tahun 1952. Bahagian utara taman, yang menampilkan labirin daripada belukar mawar, direka oleh Leopoldo Torres Balbás pada tahun 1931.[7]

  • Jardines Nuevos (Taman-taman Baru) abad ke-20
  • Las Huertas, taman-taman pasar di lereng bukit berteres di bawah Janatularif

Istana utama

Istana Janatularif tersergam di atas teres keempat di atas ke sebelah utara taman-taman luaran. Beberapa teres taman kecil juga dibina di lereng bukit di atasnya, bersama-sama dengan beberapa bangunan tambahan.[10] Bahagian utama kompleks istana ialah Patio de la Acequia ("Laman Terusan Air"), strukturnya yang terbesar. Halamannya lebih kurang empat kali panjang lebarnya, berukuran 12.8 kali 48.7 meter.[10] Ia dimasuki melalui halaman yang lebih kecil, Patio de Polo, di sebelah selatannya, yang diakses melalui satu halaman kecil lain, yang dikenali sebagai Halaman Penderuman (turun daripada kenderaan). Perkataan acequia berasal daripada perkataan Arab al-saqiyah, bermaksud saluran air atau bekalan air.[2] Bangunan itu mempunyai halaman yang panjang di dalamnya, dengan taman yang dibahagikan kepada empat petak bunga yang sama panjang. Taman bahagi empat jenis ini datang daripada taman chahar bagh dari Parsi,[19] yang tersebar ke barat dunia Islam dan juga terdapat di pelbagai taman dalaman rumah yang dipanggil riyad di al-Andalus dan Maghreb.[21][22] Di antara semua ini, mengalir memanjang di halaman ialah saluran air atau kolam yang dibarisi dengan dua deret air pancut yang memancurkan air seberang kolam. Laluan pejalan kaki berturap dibina di garisan tengah halaman yang lebih pendek. Di tengah laluan ini, di garisan tengah halaman, ialah platform berturap yang asalnya mempunyai air pancut yang khas.[19][13] Hari ini, terdapat dua air pancut dengan besen bulat dan cerat di tengah. Satu air pancut berada di hujung utara dan satu lagi di hujung selatan saluran.[7] Di tengah-tengah halaman, terdapat ruang peninjau kecil (mirador) yang menonjol dari dinding barat taman. Ruang berbentuk segi empat tepat itu berukuran 3.98 meter di setiap sisi dan bahagian dalamannya dihiasi dengan stuko berukir. Ini mungkin merupakan mirador yang paling awal diketahui dalam seni bina Nasariyah, menjadi ciri yang kemudian mula muncul di banyak istana.[10]

Patio de la Acequia diapit dua buah astaka di utara dan selatannya. Di selatan, Pabellón Sur ("Astaka Selatan") mempunyai dua tingkat dengan serambi anjung menghadap halaman, dan ia kurang dipelihara berbanding astaka utara.[7] Astaka utara pada asalnya dipanggil Majlis al-Akbari (lebih kurang bermaksud "Dewan Utama") atau Majlis al-'As'adi ("Dewan Bertuah") dalam bahasa Arab.[10] Ia didahului sebuah serambi anjung dengan lima gerbang, dengan satu gerbang yang lebih besar di tengah. Semua gerbang itu menampilkan hiasan stuko berukir dengan motif sebka dan jalur-jalur bertulisan khat nasakh. Di belakang gerbang itu ialah sebuah gajah menyusu yang ditutupi siling kayu yang diperbuat daripada bentuk-bentuk segi lapan. Laluan ini menuju ke Salón Regio (Ruang Diraja), melalui pintu masuk berhias stuko dengan tiga gerbang. Ruang itu mempunyai siling kayu juga. Gerbang-gerbang dan bahagian atas dinding dalam ruang itu dihiasi banyak hiasan stuko, seperti friz muqarnas (atau mocárabes). Di tengah-tengah bahagian utara ruang itu terdapat sebuah menara yang menggabungkan ruang mirador dengan hiasan stuko yang lebih halus. Mirador ini dapat melihat pemandangan Albaicín dari tingkap-tingkap di tiga sisinya.[7]

Tepat di atas Patio de la Acequia, di sebelah timur laut, ialah Patio de la Sultana atau Patio del Ciprés de la Sultana ("Laman Sultanah" atau "Laman Pokok-pokok Sipres Sultanah"). Dilengkapi kolam, taman dan laluan berturap, reka bentuk semasa halaman ini dan tarikh pembinaannya adalah dari selepas era Nasariyah.[13] Lorong beratap di sebelah utaranya dibina antara tahun 1584 dan 1586.[7][23]

  • Pintu masuk ke Istana Janatularif melalui Patio de Polo
  • Patio de la Acequia (Halaman Terusan), menghadap ke utara
  • Patio de la Acequia, menghadap ke selatan ke Pabellón Sur
  • Bahagian dalam mirador (tempat tinjau) halaman di sebelah baratnya
  • Serambi utara Patio de la Acequia, menuju ke Salón Regio
  • Gajah menyusu di pintu masuk ke Salón Regio (Kamar Diraja)
  • Bahagian dalaman Salón Regio (Kamar Diraja)
  • Bahagian dalam mirador (tempat tinjau) di sebelah utara Salón Regio
  • Patio de la Sultana (Halaman Sultanah), menghadap ke utara

Tangga Air dan taman-taman hulu

Di atas Patio de la Sultana pula ialah Tangga Air atau Escalera del Agua, empat buah tangga yang pelepar di kedua-dua sisinya mempunyai saluran air yang mengalir sepanjang tangga.[13][7] Tangga tersebut diselangi oleh teres-teres atau pelantar-pelantar bulat kecil berair pancut. Di puncak tangga terdapat astaka kecil abad ke-19 yang dikenali sebagai Astaka Romantik (Pabellón Romántico). Bersebelahan dengan Tangga Air dan Patio de la Sultana ialah Taman-taman Hulu atau Jardines Altos, yang diletakkan pada aras-aras yang berbeza menaiki lereng bukit. Di hujung tenggara taman dan istana utama ialah Paseo de las Adelfas ("Siar Kaki Bunga Jepun"), yang hari ini merupakan laluan yang digunakan oleh pelawat untuk keluar dari Janatularif.[7]

  • Tangga Air atau Escalera del Agua
  • Saluran air mengalir di atas pelepar Tangga Air
  • Astaka Romantik (Pabellón Romantico), dibina pada tahun 1836, mungkin di mana dewan solat Muslim pernah berada
  • Jardines Altos (Taman-taman Hulu)
  • Paseo de las Adelfas (Siar Kaki Bunga Jepun)

Rupa asal semasa pemerintahan Nasariyah

Susun atur keseluruhan

Laluan peribadi zaman pertengahan antara Alhambra dan Janatularif

Istana dan taman Janatularif pada asalnya digunakan sebagai tempat percutian peribadi dan istana musim panas untuk kaum kerabat Nasariyah, jauh daripada kerja-kerja pentadbiran di Alhambra.[13][15] Perkarangannya dahulu dikelilingi oleh dinding panjang yang sudah tiada.[17] Dalam hal ini, fungsinya serupa dengan estet-estet desa diraja yang lain yang wujud sejak awal emiriah Umaiyah (abad ke-8-10) Cordoba.[2] Sama seperti estet-estet taman yang lain ini, kemungkinan besar sebahagian besar kawasan Janatularif juga digunakan sebagai dusun, padang ragut untuk kuda, dan kebun untuk bahan-bahan memasak.[3] Salah satu fungsi utama taman-taman Janatularif sebenarnya adalah untuk hasil tani.[7] Dua lagi istana yang berasingan turut dibina di lereng bukit yang berdekatan semasa zaman Nasariyah: Istana Alijares dan Darularusah, namun ia terletak lebih jauh ke timur dan amat terbengkalai.[13] Silla del Moro ("Kerusi Moor"), puing-puing di puncak bukit yang menghadap Janatularif, pernah menjadi kubu dan tempat pemantauan yang melindungi infrastruktur bekalan air di kawasan ini.[14]

Walaupun terdapat pintu masuk utama untuk pelawat di selatan kompleks ini, para pemerintah Nasariyah boleh memasuki istana Janatularif terus dari Alhambra melalui laluan tertutup peribadi, sebahagiannya ditenggelami air dan tersorok di celah-celah dinding, yang menyeberangi jurang di antara kedua-dua lokasi. Laluan ini, yang kebanyakannya masih wujud hari ini, bermula dari Torre de los Picos di sebelah Alhambra, melintasi kebun-kebun dan taman-taman pasar sehingga sampai ke Istana Janatularif melepasi beberapa buah menara berkubu di barat daya istana, menuju masuk terus ke dalam Patio de Polo sekarang. Kira-kira separuh jalan di sepanjang laluan ini terdapat sebuah halaman kecil dengan palung air untuk haiwan. Terdapat juga pintu pagar di sepanjang laluan itu yang bersambung terus ke taman-taman pasar.[13][7]

Kompleks istana

Seksyen kecil yang tinggal di dinding barat lama era Nasariyah di Patio de la Acequia; kebanyakan ini dinding kini telah digantikan dengan gajah menyusu terbuka yang lebih rendah

Patio de la Acequia, Patio de la Sultana dan Tangga Air (Escalera del Agua) semuanya wujud pada zaman Nasariyah sebelum abad ke-16, tetapi Patio de la Sultana telah dibuat semula sepenuhnya sejak itu. Patio de la Acequia mengekalkan elemen-elemen asal yang penting bersama beberapa pengubahsuaian kemudian. Taman-tamannya adalah moden tetapi mengikut susun atur asal: dibahagikan kepada empat bahagian dengan saluran air sepusat mengalir di tengahnya. Astaka di hujung selatan halaman, Pabellón Sur ("Astaka Selatan"), paling banyak diubah suai tetapi asalnya merupakan sebahagian daripada kediaman utama raja dan kerabatnya. Dinding barat daya taman, yang hari ini terdiri daripada gajah menyusu terbuka yang dibarisi tingkap-tingkap menghadap ke arah Alhambra, dahulu ialah dinding-dinding yang lebih tinggi tanpa tingkap, menjadikan taman itu lebih terselindung. Sebahagian pendek dinding asal, yang masih ditutupi hiasan, masih wujud di sebelah utara. Mirador (astaka tinjau) di tengah-tengah dinding itu dahulunya ada tingkap-tingkap rendah dan hiasan stuko di dalamnya. Ia sebahagian daripada dinding asal dan memberikan pemandangan ke luar. Astaka utara halaman, yang terletaknya Salón Regio, mengekalkan lebih banyak unsur-unsur asalnya. Menara unjuran di sebelah utaranya, yang terdapat satu lagi ruang mirador dengan hiasan stuko asal, telah ditambah oleh Ismail I pada tahun 1319. Walau bagaimanapun, tingkat atas astaka kini, yang mempunyai gajah menyusu terbuka, telah ditambah oleh Raja-raja Katolik pada tahun 1494.[7][13]

Janatularif mempunyai semua kemudahan dan serba lengkap. Ini termasuk rumah mandi dan surau, yang sisa tinggalannya telah digali selepas satu kebakaran pada tahun 1958.[4] Rumah mandian itu berkemungkinan terletak berhampiran dengan Patio de la Sultana sekarang, tempat sistem pemanas lantai dan saluran air yang besar lamanya ditemui.[13][7] Ruang solat, yang disebut dalam catatan-catatan abad ke-16, mungkin pernah berada di tapak astaka kecil masa kini yang dipanggil Astaka Romantik (Pabellón Romántico), yang terletak di hulu Tangga Air. Dasaran lama telah ditemui di sini di bawah struktur semasa yang dibina pada tahun 1836.[13][7]

Taman-taman istana itu hari ini sangat berbeza daripada yang asal. Taman-taman semasa menunjukkan gaya Sepanyol pada abad ke-19 dan ke-20.[3] Kerana penerangan oleh Navagero dari awal abad ke-16 dan kerja-kerja penggalian 1958, ciri-ciri asal taman-taman itu kini diketahui. Di Patio de la Acequia, petak-petak bunga tenggelam di bawah paras laluan pejalan kaki di sekitarnya. Petak-petak tersebut tidak terlalu dalam, menunjukkan bahawa ia ditanam dengan tumbuhan yang agak rendah seperti belukar pokok murad, tetapi beberapa lubang yang lebih dalam dibuat untuk tumbuhan-tumbuhan yang lebih besar seperti pokok oren.[13] Pancutan-pancutan Janatularif asal juga berbeza. Jet-jet air di Patio de la Acequia bukan original dan dipasang pada abad ke-19.[2] Walau bagaimanapun, air pancut jet mungkin terdapat juga di beberapa bahagian istana. Contohnya, menurut Navagero, pernah terdapat satu air pancut di salah satu halaman hiliran (mungkin Patio de Polo) yang memancutkan air sembilan meter ke udara. Hal ini disokong oleh infrastruktur bekalan air yang besar di istana itu, yang nampaknya telah membekalkan lebih banyak air daripada yang diperlukan untuk menyiram pokok-pokok sahaja.[13]

Sistem bekalan air

Albercones di atas Janatularif: takungan Nasariyah lama di sebelah kanan, dengan perigi utama dan sisa pelantar menara di sebelahnya; di sebelah kiri ialah dua takungan moden yang ditambah pada abad ke-20

Air masuk ke Janatularif dari Acequia Real (juga dikenali sebagai Acequia del Rey atau Acequia del Sultan), yang juga membekalkan air ke Alhambra dan sebahagian besar sistemnya masih wujud hari ini. Ia mengambil air dari Sungai Darro di tempat yang lebih tinggi di kaki bukit Sierra Nevada, sekitar 6.1 kilometer ke timur Alhambra.[14] Saluran yang lebih kecil dipanggil Acequia del Tercio berpisah dari saluran utama beberapa kilometer ke hulu. Ia melepasi sebuah kawasan yang lebih tinggi dan sampai ke Janatularif berhampiran Pabellón Romántico. Ini membantu menyediakan air ke taman-taman hulu, Tangga Air dan rumah mandian lama. Saluran air utama menuruni bukit dan sampai juga ke istana Janatularif dan membekalkan air ke Patio de la Acequia. Saluran-saluran tersebut umumnya mengalir di permukaan tetapi beberapa bahagian mengalir melalui terowong-terowong yang ditarah dalam batuan dasar. Saluran-saluran ini, digabungkan dengan sistem hidraulik kompleks dengan tangki dan roda air, membekalkan dan mengagihkan air ke semua taman.[13][7][14]

Satu bahagian sistem air ini, dipanggil Albercones, mempunyai tangki air zaman pertengahan yang boleh menyimpan 400 meter padu air. Tangki ini membantu menyiram dusun-dusun dan taman-taman di hulu. Ia kini terletak di lereng bukit di atas Jardines Nuevos. Dua lagi takungan moden juga terdapat di sebelahnya hari ini: satu dibina oleh Torres Balbas pada tahun 1926, dan satu lagi ditambah oleh Prieto Moreno pada tahun 1930-an.[14] Takungan itu dibekalkan dengan air melalui perigi sedalam 17.4 meter yang terletak di atas sebuah pelantar di barat dayanya, yang asalnya ditutupi sebuah menara tanah padat dan di dalamnya ialah sebuah mekanisme roda air yang dikuasai haiwan yang menimba air dari perigi tadi. Perigi itu menuju ke terowong bawah tanah yang keluar berhampiran Paseo de las Adelfas hari ini. Terowong bawah tanah ini menyumberkan air terus dari Acequia Real yang melewati taman, dan juga dari Acequia del Tercio yang lebih tinggi yang melintasinya. Kedua-dua saluran melepasi Albercones dan bercantum sebelum kembali ke arah Alhambra, di mana air memasuki Alhambra melalui akueduk di sebelah Torre del Agua di hujung timur Alhambra.[14]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Janatularif https://www.britannica.com/topic/Alhambra-fortress... https://books.google.com/books?id=IRHbDwAAQBAJ&q=A... https://books.google.com/books?id=M64VYn8Qq-QC&q=r... https://books.google.com/books?id=7GVjEAAAQBAJ&dq=... https://books.google.com/books?id=tBhREAAAQBAJ https://books.google.com/books?id=bXjXDQAAQBAJ&dq=... https://books.google.com/books?id=JgQxkcLBzaEC&pg=... https://books.google.com/books?id=848k_veh0IkC&q=g... https://books.google.com/books?id=r4NPAwAAQBAJ&pg=... https://doi.org/10.1093%2Fjss%2F12.1.91