Sejarah Janatularif

Di bawah Dinasti Nasar

Patio de la Acequia pada abad ke-19, sebelum dipasang air pancut moden

Pada zaman Nasariyah, Janatularif ialah sebuah almunia (dari bahasa Arab al-munya, yang bermaksud "ladang"[8]), sebuah vila desa yang digunakan sebagai tempat peranginan peribadi oleh golongan elit dan juga estet pertanian dengan fungsi agrikultur.[7][9] Estet luar bandar dan taman sedemikian mula dibina oleh golongan pemerintah dan bangsawan di al-Andalus sejak zaman Umaiyah (abad ke-8-10).[2][10] Estet sedemikian juga terdapat di beberapa bandar bersejarah di Afrika Utara, seperti Taman Agdal di Marakesy, yang masih wujud kini.[11]:25 Taman-taman begini direkodkan wujud di Granada seawal pemerintahan dinasti Ziri (abad ke-11).[12] Contoh-contoh binaan jenis ini dari zaman Nasariyah boleh didapati di lereng gunung berdekatan, seperti Istana Alijares dan Darularusah (kedua-duanya mungkin dari abad ke-14),[13][14][9] dan tempat-tempat lain di Granada, seperti Alcázar Genil dan Cuarto Real de Santo Domingo (kedua-duanya dari abad ke-13, yang pertama asalnya dari zaman al-Muwahhidun).[12][9]

Berdasarkan hiasan tertua istana ini yang pernah dikaji, Janatularif kemungkinan besar dibina oleh Muhammad II (r. 1273–1302) pada akhir abad ke-13,[7][2] atau mungkin oleh Muhammad III (r. 1302–1309) pada awal abad ke-14.[15] Walaupun baginda bukan yang memulakan pembinaannya, Muhammad III tetap menyumbang kepada cara ia dihias pada awalnya dan baginda juga telah menambahkan ruang mirador di astaka utara istana.[16][10] Penguasa-penguasa Nasariyah selepas itu juga menokok tambah padanya. Menurut satu inskripsi, ia telah diubah suai dan dihias semula tidak lama kemudian oleh Ismail I pada tahun 1319.[15][4] Beberapa inskripsi di sekitar pintu masuk ke Salón Regio telah dikarang oleh Ibnu Jayyab, wazir Ismail dan penyair diraja.[10] Terdapat bukti bahawa Muhammad V (raja 1354–1359 dan 1362–1391), yang pernah menjalankan kerja-kerja pembinaan di Alhambra, juga menjalankan kerja-kerja tersebut di sini.[7] Akhir sekali, Yusuf III (r. 1408–1417) telah mengubah suai bahagian selatan istana pada abad ke-15.[7]

Selepas Reconquista

Selepas Reconquista dan pemerintahan Kristian Sepanyol bermula di Granada, Janatularif mengalami pelbagai perubahan dan penambahan dari abad ke-16 hingga abad ke-20.[17][3] Antara perubahannya, Raja-raja Katolik Sepanyol Isabela dan Fernando telah menambahkan tingkat atas pada astaka utara Patio de la Acequia ("Laman Terusan Air") pada tahun 1494, manakala Patio de la Sultana ("Laman Sultanah") yang di sebelahnya langsung direka bentuk semula pada abad ke-16.[7][15] Pengembara Venice Andrea Navagero yang melawat Janatularif pada tahun 1524–26, menerangkan rupanya sebelum banyak pengubahsuaian Sepanyol mula dilakukan. Catatan beliau berguna kepada sarjana moden dalam membina semula rupa asal istana ini dan taman-tamannya.[13]

Théophile Gautier, pelawat pertengahan abad ke-19, menulis:

Yang tinggal daripada Janatularif sekarang hanyalah beberapa lorong beratap dan beberapa buah panel arabes, yang malangnya telah diplaster dengan berlapis-lapis cat kapur seperti mereka degil ingin menyucikannya. Sedikit demi sedikit, arca-arca halus dan guilloche pada seni bina yang keluar daripada kisah dongeng ini telah dilenyapkan, ditutup dan ditelan. Apa yang kini tidak lebih daripada dinding yang hampir kelihatan seperti dimakan cacing, dahulunya hiasan berawang sehalus kepingan-kepingan gading yang orang Cina ukir dengan sabar menjadi kipas.[18]

Penampilan taman-tamannya kini, khususnya Jardines Nuevos ("Taman-taman Baru"), sebahagian besarnya adalah kerana Leopoldo Torres Balbás dan Francisco Prieto Moreno, yang telah menyusun aturnya semula antara 1931 dan 1951 dan meninggalkan pengaruh Itali.[17][7] Pada tahun 1958, satu kebakaran besar telah merosakkan sebahagian besar utara Janatularif. Walau bagaimanapun, kerosakan dan pembaikan kebakaran juga memberi peluang untuk menggali dan mengkaji susun atur asal taman berkenaan. Di Patio de la Acequia, ahli arkeologi menemui laluan berturap era Nasariyah yang asal dan berjaya mengenal pasti tanah asal taman Moor itu yang tertimbus di bawah 70 cm lapisan baru, serta saliran di sepanjang sisi terusan tengah yang menyiram dan mengairkan taman itu untuk. Namun, selepas penggalian, lapisan asal laluan dan taman ini dilitup semula setinggi setengah meter, salirannya disumbat, dan sebuah taman moden ditanam semula dengan flora-flora yang tiada kaitan botanikal dengan tema Moor yang asal.[19][13][3] Meskipun begitu, susun atur dan pembahagian ruang keseluruhannya masih mengikut susun atur asal.[19] Restorasi taman terbaru lebih mengikut flora asal taman ini.[7]

Sejak 1984, Janatularif telah menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO bersama-sama dengan Alhambra.[20]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Janatularif https://www.britannica.com/topic/Alhambra-fortress... https://books.google.com/books?id=IRHbDwAAQBAJ&q=A... https://books.google.com/books?id=M64VYn8Qq-QC&q=r... https://books.google.com/books?id=7GVjEAAAQBAJ&dq=... https://books.google.com/books?id=tBhREAAAQBAJ https://books.google.com/books?id=bXjXDQAAQBAJ&dq=... https://books.google.com/books?id=JgQxkcLBzaEC&pg=... https://books.google.com/books?id=848k_veh0IkC&q=g... https://books.google.com/books?id=r4NPAwAAQBAJ&pg=... https://doi.org/10.1093%2Fjss%2F12.1.91