Sejarah Jempol

Jalan Penarikan

Peta menunjukkan daerah Jempol di Negeri Sembilan

Jalan Penarikan yang juga terkenal sebagai Londar Siam adalah sebatang jalan darat tertua pernah diketahui di Semenanjung Malaysia dan merupakan jalan alternatif kepada jalan laut iaitu melaui Temasik (Singapura). Jalan ini telah menghubungkan dua batang sungai Serting di sebelah utara dan sungai Jempol di bahagian selatan.[1]

Sejarah awal Jalan Penarikan ini tidak diketahui dengan tepat namun pernyataan tentangnya hanya diperolehi daripada dokumen lain secara kebetulan menyebutnya. Jalan ini dikatakan telah mula digunakan oleh pedagang-pedagang dari pantai barat semenanjung untuk pergi ke pantai timur (termasuk Siam) dan sebaliknya untuk menjalankan kegiatan perdagangan.

Peta terawal yang melakarkan Jalan Penarikan ini telah melukis dalam abad ke 16 oleh seorang ahli geografi Eropah. Namun pada abad ke 17, seorang pengembara Portugis telah melakarkan semula Jalan Penarikan ini yang mana telah menunjukkan ianya adalah satu jalan darat bukan satu terusan seperti yang telah digambarkan oleh ahli geografi Eropah itu.

Mengikut sejarah, Jalan Penarikan ini merupakan jalan darat yang sibuk dan terkenal serta telah memberi sumbangan dan menyaksikan berbagai sejarah lebih kurang 700 tahun. Dengan demikian, Jalan Penarikan ini perlu dijaga sebagai satu warisan sejarah yang penting dan perlu dibaikpulih, dipelihara dan "dinampakkan semula" agar generasi akan datang menyaksikan satu peninggalan sejarah yang penting.