Istilah Jeneral

"Pegawai Jeneral", merujuk secara am dan dengan tidak begitu khusus sebagai "Jeneral", mana-mana pegawai tentera yang memegang satu-satu pangkat Jeneral. Pangkat jeneral yang tepat boleh ditentukan dengan menggabungkan awalan, umpamanya Mejar Jeneral, atau akhiran, umpamanya Jenderal Besar, (Tentara Nasional Indonesia).

"Jeneral", tanpa awalan atau akhiran (kekadang dirujuk secara informal sebagai "jeneral penuh"), biasanya merupakan pangkat pegawai jeneral yang tertinggi, iaitu lebih tinggi daripada Leftenan Jeneral. Dalam sebilangan angkatan tentera, pangkat yang tertinggi adalah Captain General, General of the Army, atau Colonel General. Kesemua pangkat ini boleh dianggap sebagai sama sahaja, kalau tidak lebih tinggi, dengan Jeneral penuh bergantung kepada pasukan tentera yang dimaksudkan.

Sedangkan secara kelazimannya, "Jeneral" merupakan pangkat tentera darat, istilah ini juga digunakan dalam beberapa tentera udara. Bagaimanapun, negara-negara yang berdasarkan sistem Tentera Udara Diraja British menggunakan (Air) Marshal atau Marsyal Udara sebagai ganti, dengan Pegawai Udara merupakan gelaran am. Dalam kebanyakan angkatan tentera laut di dunia, pangkat yang setanding ialah Laksamana, dengan panggilan Pegawai Berbendera; bagaimanapun, pernah juga berlaku dalam sejarah penggunaan pangkat General at Sea atau Jeneral di Laut, ketika era Oliver Cromwell memerintah England. Dalam Angkatan Pertahanan Israel, tidak terdapatnya pangkat tentera laut yang berasingan, dan istilah Ibrani Aluf digunakan untuk kedua-dua "Jeneral" dan "Laksamana". Begitu juga dengan Tentera Darat Imperial Jepun dan Tentera Laut Imperial Jepun yang menggunakan istilah Taisho untuk kedua-dua Jeneral dan Laksamananya. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, angkatan tentera Amerika Syarikat cenderung menggunakan "Pegawai Berbendera" dan "Pangkat Bendera" untuk merujuk kepada jeneral-jeneral dan laksamana-laksamananya sebagai sekumpulan. Bagi Angkatan Tentera British pula, Flag Officer (Pegawai Berbendera), khusus merujuk kepada pegawai tinggi tentera laut, General Officer (Pegawai Jeneral), khusus tentera darat dan Air Officer (Pegawai Udara) khusus bagi tentera udara mereka.

Nama pangkat Jeneral muncul buat pertama kali pada masa penubuhan angkatan tentera profesional dalam abad ke-17. Pada mulanya, istilah ini ditambah sebagai kata sifat kepada nama pangkat-pangkat yang sedia ada, dan menghasilkan gelaran seperti Colonel General (Kolonel Jeneral), Captain General (Kapten Jeneral), Lieutenant General (Leftenan Jeneral), dan Sargeant-Major General (Sarjan Mejar Jeneral). Gelaran-gelaran ini dipergunakan untuk membezakan pegawai-pegawai pemerintah yang terpenting, dan biasanya melibatkan setakat perundingan terhadap keutamaan.