Pandangan Juanda_Jaya

Masjid

Bagi beliau, peranan masjid adalah bukan sekadar pusat untuk beribadah tetapi pusat masyarakat yang perlu sentiasa dimakmurkan. Masjid-masjid di Perlis perlu mempunyai gelanggang sukan selain meningkatkan keindahan senitamannya sebagai langkah mempelbagaikan peranannya.Selama ini masjid sering dipakejkan dengan tanah kubur sedangkan ia sewajarnya menjadi pusat masyarakat yang penuh dengan kegiatannya di samping peranan utama sebagai tempat beribadah.Para pegawai masjid juga digalakkan menyertai askar Wataniah sebagai langkah menggalakkan anak kariah mereka menyertai pasukan sukarelawan yang menjadi benteng pertahanan kedua.anak-anak kariah juga boleh membantu menangani gejala jenayah dengan sering memberi maklumat mengenai kegiatan itu kepada pihak berkuasa melalui masjid.[12]

Isu kahwin kanak-kanak

Pada 17 Mac 2010, di dalam akhbar internet Malaysiakini.com, beliau berkata bahawa ini adalah lumrah dan isu lapok melingkari masyarakat Islam di seluruh dunia. Perbincangan hukum fekah berkaitan perkara ini dimaklumi oleh para pengkaji hukum syarak dan proses perundangan berkaitannya dimaklumi oleh para pengamal undang-undang. Persoalan utama yang jarang dibincangkan adalah adakah perkara ini wajar dibiarkan tanpa ditadbir dengan bijaksana, sedangkan zaman telah berubah dan mengapa soal perkahwinan kanak-kanak ini tidak dimasukkan sebagai perkara yang boleh disekat pihak berkuasa (mahkamah).[13]

Perkara ini disangkal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diwakili oleh Pegawai Perhubungan Awamnya, Asiah Alkharib Shah dalam berkata peruntukan bagi menyekat kes seperti itu telahpun wujud sejak lebih 20 tahun lalu. Jakim menegaskan telah wujud peruntukan yang menyekat perkahwinan kanak-kanak bawah umur dalam peruntukan undang-undang syariah yang sedia ada di Malaysia dan peruntukan tersebut telah wujud selama lebih 20 tahun di semua negeri sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 yang secara jelas meletakkan had umur minimum sesuatu perkahwinan. Beliau membidas golongan tertentu bahawa golongan berwibawa dalam soal hukum dan undang-undang syariah sepatutnya mahir dalam semua undang-undang syarie yang diamalkan di seluruh negara. Jelasnya, ini penting bagi mengelakkan individu terlibat daripada mengeluarkan "kenyataan yang tidak berasas" dan juga mengelakkan berlakunya kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Sebaliknya, sesuatu dakwaan dan kenyataan yang ingin dikeluarkan hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada peruntukan undang-undang syariah yang ada di negara ini," katanya lagi.

Asiah menjelaskan, undang-undang hanya membenarkan perkahwinan kepada lelaki berusia lebih 18 tahun dan perempuan lebih 16 tahun, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada hakim syarie berdasarkan keadaan tertentu. "Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga adalah dinafikan kuasanya untuk mengahwinkan anak dibawah umur. "Malah, sekiranya pihak penjaga atau ibubapa mengahwinkan anak perempuan mereka tanpa kebenaran mahkamah, satu tindakan boleh diambil ke atas ibubapa," katanya lagi.[14]