Penerbitan KIL_(filem)

Filem ini merupakan filem pertama yang diarahkan oleh Nik Amir Mustapha. Nik Amir Mustapha, Rewan Ishak dan Jeremy Little pada mulanya, berhasrat untuk membuat projek KIL dengan kos produksi yang rendah. Nik Amir asalnya hanyalah berniat untuk menghasilkan filem ini atas dasar suka-suka dan minat filem. Kos produksi bagi filem ini turut–pada mulanya–dibiayai oleh Nik Amir sendiri. Mereka bertiga kemudian menubuhkan sebuah syarikat produksi, Flux Visual Lab dan ingin menjalankan penggambaran tanpa krew produksi yang lengkap. Tetapi selepas berjumpa S.Y Chong, seorang pengarah fotografi, mereka bersetuju untuk mencari dan menubuhkan satu pasukan produksi yang lengkap. Nik Amir & Rewan Ishak telah melakukan penyelidikan mengenai bunuh diri dan mereka memutuskan untuk menghasilkan satu cerita berdasarkan topik ini. Dalam proses mengembangkan cerita ini, mereka telah menyuntik elemen-elemen segar untuk menambahkan rasa bagi naskah ini. Selepas 2-3 bulan proses perbincangan, penulisan semula, skrip KIL telah berjaya disiapkan.

Pemilihan pelakon dilakukan dengan membentangkan idea mengenai projek ini kepada pelakon yang berpotensi tinggi. Pihak produksi kemudiannya membentangkan sinopsis dan skrip filem ini kepada Redza Minhat dan Christina Suzanne sebagai pelakon utama. Kedua-dua pelakon ini bersetuju untuk berlakon di dalam filem ini.

Pengembaraan filem ini dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dalam tempoh 11 hari pada bulan Mei 2011. Pengambaraan filem ini menggunakan kamera Canon DLSR 5D Mark II.[6]

Pada tahun 2012, filem ini telah dibeli oleh Tengku Iesta Tengku Alaudin. Filem ini kemudiannya melalui proses produksi yang lebih teliti dengan memasukkan kesan bunyi dan sebagainya.[7]