Plot KIL_(filem)

Akil, sedang berehat di tingkat atas apartmennya

Seorang pemuda bernama Akil (Redza Minhat) menghadapi kemurungan serta cenderung untuk membunuh diri. Tetapi, dia masih tidak berani untuk membunuh diri. Percubaannya untuk mati sentiasa gagal. Ketika dalam percubaan untuk terjun dari bangunan, dia telah berjaya menghalang seorang gadis (Juliana Evans) daripada membunuh diri kerana putus cinta.

Pada suatu hari, ketika sedang menghisap rokok di sebuah lorong, dia ternampak sehelai risalah yang mempromosi khidmat bunuh diri. Akil menelefon nombor tersebut dan bercakap dengan Salina (Dira Abu Zahar) yang akhirnya menemukan dirinya dengan sebuah agensi pembunuhan (Life Action Bureau - LAB). Setelah berbincang dengan konsultan LAB, Encik Harun (Harun Salim Bachik), dia mengupah agensi tersebut untuk membunuhnya dengan cara pembunuhan yang bakal dilakukan adalah tidak dijangka olehnya. Dia tidak tahu akan siapa kontraktor LAB (pembunuh upahan) dan bila atau di mana dia akan mati.

Zara sedang menerangkan sesuatu kepada Akil.

Akil kembali meneruskan kehidupan seperti biasa sehingga dia mula jatuh cinta pada seorang gadis yang baru ditemuinya, Zara (Cristina Suzanne).[5] Akil kerap bertemu dengan Zara sebelum dia menyedari dirinya diekori oleh seseorang (kontraktor LAB). Akil kemudiannya mendapat bonus pertama (selepas empat tahun bekerja) daripada bosnya. Akil membawa Zara menonton wayang cerita Dunia Tanpa Esok arahan Johan Iskandar (Hasnul Rahmat). Johan merupakan antara pelanggan LAB kerana tertekan hasil kegagalan perkahwinan dengan isterinya (Atilia Haron).

Akil semakin kerap mendapat gambar-gambar dia menjalani kehidupan seharian berserta nota-nota perangsang untuk meneruskan kehidupan. Akil juga semakin sedar akan kebahagiaan yang akan hadir sekirannya dia meneruskan kehidupan. Zara kemudiannya didedahkan sebagai kontraktor LAB untuk Johan. Keesokan harinya, Akil diculik untuk ditangkap gambar wajahnya sebelum dilepaskan. Akil pulang ke rumah dengan keadaan rumahnya yang lintang-pukang. Marah akan apa yang berlaku, Akil menelefon pejabat LAB untuk membatalkan kontrak pembunuhannya. Setelah Encik Harun mengatakan perbuatan tersebut sebagai mustahil, Akil cuba membuat laporan polis tetapi berdepan kesukaran untuk menjelaskannya kepada pihak polis.

Akil kemudian balik ke kampung untuk bertemu dengan Mak Cik Ros. Maknya telah terkorban dalam kemalangan suatu ketika dahulu dalam kenderaan yang dipandu Akil. Zara pula didedahkan mendapat buah pinggang daripada Raj, anak kepada Miss Jasmine (Anna James). Setelah pulang dari kampung, Akil terjumpa koleksi gambar-gambar mangsa Zara. Akil mula mengesyaki keikhlasan Zara berkawan dengannya dan hakikat bahawa Zara merupakan kontraktor LAB.

Setelah itu, Akil bertemu dengan Zara. Zara memberitahu bahawa dia memang bekerja di LAB tetapi menafikan dirinya seorang pembunuh. Mereka bertengkar seketika sebelum Akil menyuruh Zara untuk membunuhnya. Zara menampar Akil dan mengingatkan Akil bahawa dia mengambil kisah terhadap dirinya. Apabila pulang ke rumah, Akil bertemu dengan kontraktor LAB yang ditugaskan untuk membunuh dirinya (Encik Harun). Akil berkata dia mahu kehidupannya semula sebagai kata-kata terakhir ketika Encik Harun mengacukan pistol di kepalanya.

Zara cuba mencari maklumat mengenai kes Akil di koleksi maklumat LAB, tetapi terlambat untuk menghalang Encik Harun dari melaksanakan tugasnya.

Di dalam epilog, pistol Encik Harun merupakan pistol mainan. LAB pula sebenarnya bukan agensi pembunuhan tetapi sebuah NGO yang bertujuan untuk menghalang bunuh diri dari berlaku. Dengan mengetahui bahawa dirinya akan dibunuh, seseorang itu akan lebih menghargai kehidupannya. Encik Harun turut memberitahu Akil bahawa Zara memang seorang kontraktor LAB tetapi bukan untuk dirinya. Filem berakhir dengan Zara membelanja Akil aiskrim kerana berjaya meneka dengan tepat pekerjaanya.