Sejarah Kalendar_Cina

Permulaan berlegenda

Menurut legenda, kalendar Cina berkembang sejak alaf ketiga sebelum Masihi. Para pengkaji mengiktiraf kalendar Cina sebagai takwim yang paling lama masih digunakan di dunia. Kalendar ini dikatakan adalah ciptaan pemerintah sulung yang legenda, Huang Di atau Maharaja Kuning, yang memerintah, sekitar 2698-2599 SM. Pemerintah legenda keempat, Maharaja Yao, menambahkan bulan lompat dalam kalendar ini. Kitaran "batang-dahan"60 tahun mula digunakan untuk menandakan hari-hari sewaktu alaf kedua sebelum Masihi. Tradisi menetapkan tahun pertama dalam kitaran pertama pada 2637 AD (rujuk Herbert A. Giles, A Chinese-English Dictionary (1912), dan pengarang Barat lain yang mengarang sewaktu penghujung dinasti Qing). Maka kitaran yang bermula pada 1984 adalah kitaran yang ke-78. Ada yang menetapkan tahun asalan tersebut pada 2697 SM (ketika Huang Di masih belum dewasa), menjadikan kitaran ini yang ke-79.

Sejarah awal

Bukti arkeologi terawal mengenai kalendar Cina muncul pada tulang ramalan pada alaf kedua sebelum Masihi dinasti Shang yang memaparkan tahun lunisolar yang lazimnya 12 bulan namun kadang-kadang adanya bulan ke-13, lebih-lebih lagi bulan ke-14. Menambahkan bilangan bulan dalam tahun kalendar memastikan peristiwa tahun baru tetap dilangsungkan dalam satu musim sahaja, sepertimana takwim Gregorius meletakkan satu hari tambahan pada bulan Februari setiap empat tahun.

Catatan Zhou Timur awal, seperti Sejarah Musim Bunga dan Musim Luruh, memberikan pemahaman yang lebih bagus mengenai kalendar yang digunakan ketika Dinasti Zhou. Setahun biasanya ada 12 bulan, yang lamanya 29 dan 30 hari berselang-seli (dengan satu hari tambahan dari masa ke semasa bagi mengejar "perpisahan" antara kalendar dan kitaran bulan sebenar), dan bulan lompat juga ditambah secara sembarangan pada akhir tahun.

Hukum-hukum sembarangan pada interkalasi hari dan bulan menyebabkan kalendar setiap negeri kadang-kadang sedikit berbeza. Maka, catatan seperti Sejarah tersebut selalunya akan menentukan sama ada kalendar yang digunakan (kalendar Lu) serentak dengan kalendar Diraja (yang digunakan raja-raja Zhou).

Walaupun tradisi menyatakan bahawa dalam negeri Zhou, setahun bermula pada anak bulan sebelum solstis musim sejuk, Sejarah Musim Bunga dan Musim Luruh nampaknya menunjukkan bahawa (sekurangnya di Lu) kalendar Yin (yang digunakan ketika dinasti Shang, dengan tahunnya bermula pada anak bulan pertama selepas solstis musim sejuk) digunakan sehingga pertengahan abad ke-7, dan bahawa permulaan setahun beralih sebulan ke belakang sekitar tahun 650 SM.

Menjelang tercetusnya Zaman Negeri-negeri Berperang, perkembangan dalam astronomi dan matematik membolehkan penciptaan kalendar terkira (yang mana bulan dan hari lompatditentukan melalui satu panduan tertenu, dan bukannya secara sembarangan). Kalendar sìfēn 四分 (baki suku) yang bermula sekitar 484 BC, adalah kalendar Cina terkira yang pertama, dan bernama demikian kerana menggunakan tahun suria 365¼ hari, disamping Hukum Kitaran 19 tahun (235 bulan) yang dikenali di Barat sebagai kitaran Metonik. Setahun bermula pada anak bulan sebelum solstis musim sejuk, dan bulan lompat dimasukkan pada akhir tahun.

Pada 256 SM, apabila raja Zhou terakhir menyerahkan wilayah baginda ke negeri Qin, satu kalendar baru (iaitu kalendar Qin) mula digunakan, mengikut prinsip-prinsip yang sama seperti kalendar Sifen, kecuali setahun bermula sebulan lebih awal (anak bulan kedua terakhir sebelum solstis musim sejuk, yang kini jatuh pada bulan kedua setahun). Kalendar Qin digunakan ketika dinasti Qin dan awal dinasti Han Barat.

Kalendar Taichu

Maharaja Wu dinasti Han Barat memperkenalkan pembaharuan yang telah menentukan kalendar Cina semenjak itu. Dalam kalendar Tàichū 太初 (Permulaan Besar) baginda pada tahun 104 SM, dalam setahun solstis musim sejuk jatuh pada bulan sebelas dan mana-mana bulan (29 atau 30 hari) ditetapkan sebagai bulan lompat apabila matahari tidak menghabiskan tempoh utama (iaitu, kekal dalam bitnang zodiak yang sama keseluruhannya). Oleh sebab pergerakan min matahari digunakan untuk menghitung jiéqì (Cina Tradisional: 節氣, Cina Ringkas: 节气) (atau petanda bermusim) sehingga tahun 1645, bulan lompat ini boleh jatuh pada mana-mana bulan secara sama rata pada setahun. Gabungan matahari dan bulan (anak bulan astronomi) dihitung berpandukan gerakan min kedua-dua matahari dan bulan sehingga tahun 619, iaitu tahun kedua dinasti Tang, apabila pakar kronologi mula menggunakan gerakan sebenar berasaskan dua parabola yang saling mengimbangi (dengan komponen linear dan kubik kecil). Malangnya, parabola-parabola ini tidak bertemu pada gerakan min dengan lancarnya, sebaliknya bertemu dengan ketakselanjaran.

Matahari dan bulan sebenar

Dengan pengennalan astronomi Barat ke China melalui golongan Jesuit, gerakan kedua-dua matahari dan bulan mula dihitung dengan sinusoid untuk kalendar Shíxiàn (時憲書, Buku Keakuran Masa) 1645 pada dinasti Qing yang direka oleh Jesuit Adam Schall. Kali ini, gerakan matahari sebenar digunakan untuk menghitung jiéqì, yang menyebabkan bulan lompat sering terjadi antara bulan kedua hingga kesembilan, tetapi jarang selepas bulan kesepuluh hingga bulan pertama. Sebilangan kecil tempoh musim luruh-sejuk mempunyai satu atau dua bulan kalendar yang mana matahari memasuki dua bintang zodiak, diselangi dua atau tiga bulan kalendar yang mana matahari kekal dalam satu bintang.

Minggu

Biasanya, hari-hari dalam seminggu diberi nombor dan dikenali sedemikian; Isnin ialah hari pertama seminggu, Selasa ialah hari ke-2, Rabu ialah hari ke-3, Khamis ialah hari ke-4, Jumaat ialah hari ke-5, dan Sabut ialah hari ke-6. Ahad pula ialah hari Matahari dan oleh itu adalah satu-satunya hari yang tidak bersinambung dengan corak penamaan hari seminggu. Nombor-nombor hari Isnin hingga Sabtu adalah sama dengan ISO 8601. Oleh sebab kebelakangan ini ramai warga China mengambil kelepasan pada hari Ahad setiap minggu, maka Isnin dijadikan hari pertama seminggu seiring dengan amalan industri dan komersial biasa, namun banyak kalendar China menandakan hari Ahad sebagai hari pertama seminggu.

Pembaharuan Gregorian dan perubahan waktu 1929

Takwim Gregorius diterima oleh pemerintah Republik China yang baru ditubuhkan pada 1 Januari 1912 untuk urusan rasmi, namun rakyat jelata masih memakai kalendar tradisional. Status takwim ini kurang jelas antara tahun 1916 dan 1921 apabila China dikuasai oleh beberapa panglima perang bermusuhan yang disokong kuasa kolonial asing. Sejak tahun 1921 hingga 1928 panglima-panglima ini masih merebut China utara, namun kerajaan Kuomintang mengawal China selatan dan memakai takwim Gregorius. Setelah Kuomintang menyusun semula pemerintahan Republik China pada 10 Oktober 1928, takwim ini diterima secara rasmi bermula pada 1 Januari 1929. Dengan ini, zon waktu untuk seluruh negara disuaikan kepada zon waktu pantai yang selama ini digunakan di pelabuhan perjanjian Eropah sepanjang pantai China sejak tahun 1904. Ini mengubah permulaan setiap hari kalendar, bagi kalendar tradisonal dan Gregorius, dengan menambah 14 minit dan 26 saat dari tengah malam Beijing ke tengah malam di longitud 120° di timur Greenwich.

Hal ini bagaimanapun menimbulkan beberapa kemusykilan, seperti ketika Perayaan Kuih Bulan tahun 1978 di mana anak bulan dilihat pada 3 September 1978, pada jam 00:07 Waktu Piawai China[1]. Menurut zon waktu Beijing lama, anak bulan terjadi pada jam 23:53 pada 2 September, maka bulan kelapan qamari bermula pada hari yang berbeza pada kalendar. Maka penduduk Hong Kong (yang memakai kalendar tradisional) menyambut perayaan ini pada 16 September, manakala penduduk tanah besar merayakan perayaan tersebut pula pada 17 September.[2]

Rujukan

WikiPedia: Kalendar_Cina http://www.char4u.com/chinese-zodiac-sign.php http://www.henryfong.com/10000.htm http://www.mandarintools.com/calendar.html http://www.hko.gov.hk/contente.htm http://www.hko.gov.hk/gts/time/24solarterms.htm http://www.hko.gov.hk/gts/time/stemsandbranches.ht... http://www.math.nus.edu.sg/aslaksen/calendar/cal.p... http://www.math.nus.edu.sg/aslaksen/calendar/chine... http://www.sinica.edu.tw/~tdbproj/sinocal/luso.htm... https://archive.is/20120716085954/sunearth.gsfc.na...