Mitos Kassandra

Biografi

Gambaran toreh kayu tentang ramalan Kassandra dan kejatuhan Troy (kiri) dan kematian Kassandra (kanan), dari sekajang Inkunabula terjemahan Jerman oleh Heinrich Steinhöwel daripada De mulieribus claris milik Giovanni Boccaccio, dicetak oleh Johann Zainer (de) di Ulm ca. 1474.

Kassandra ialah seorang puteri negeri Troy, anak perempuan kepada Raja Priam dan Ratu Hecuba dan merupakan kakak kembar fraternal kepada Helenus. Menurut legenda, Kassandra mempunyai rambut ikal coklat kemerah-merahan dan mata berwarna perang berangan, walaupun beliau cantik dan pintar Kassandra dianggap gila oleh orang ramai.[6]

Anugerah ramalan

Kassandra dikurniakan anugerah meramal, tetapi juga disumpah dewa Apollo supaya tiada siapa percayakan ramalannya. Pelbagai versi mitos ini mengatakan Kassandra menjelmakan kemurkaan Apollo kerana enggan bersanggama dengannya, walaupun berjanji akan lakukannya setelah dapat kuasa ramalan. Dalam Agamemnon Aeschylus, Kassandra meratapi hubungannya dengan Apollo:

Apollo, Apollo!
Dewa segala tuju, namun hanya Maut padaku,
Sekali dan lagi, wahai dikau, dinamaimu Pembinasa,
Dikau telah membinasaku, dikau, buah hatiku yang lama!

Dan beliau memahami salahnya

"Telah perizinkan [cinta] daku kepada Loxias [Apollo], tetapi mungkir daku janjinya. Sejak kesalahan (daku) itu, tiada dapat meyakinkan daku sesiapa pun."[7]

Penulis Romawi Hyginus menyatakan dalam Fabulae:[8]

Kassandra, anak perempuan (raja) Priam dan (ratu) Hecuba, di kuil Apollo, jerih daripada bermain diperkatakan terlena; hatta kalakian damba Apollo mendakap dia, dia tidak memperuntukkan tubuhnya. Oleh demikian, apabila dia bertakwilkan perkara yang benar, percayanya akan dia tiada.

Dalam beberapa versi, Apollo menyumpah Kassandra dengan meludah ke dalam mulutnya.

Kassandra berkhidmat sebagai seorang paderi dara kepada Apollo dan bersumpah akan kekal dara seumur hidup.[9]

Ajax si Kecil di Troy mengherot Kassandra dari Palladium dihadapan Priam, mural Romawi dari Casa del Menandro, Pompeii

Sumpahan Apollo menjadi kepayahan padanya. Kassandra dikutuk seorang penipu dan gila oleh keluarganya dan rakyat Troy. Dalam sesetengah cerita, Kassandra dikurung di dalam sebuah binaan berbentuk limas di kubu kota, atas perintah ayahandanya, Raja Priam. Beliau dijaga oleh seorang wadarwati yang ditugaskan untuk sampaikan kepada raja apa "ramalan" yang diungkapkan anaknya.[10]

Menurut legenda, Kassandra telah mengajar saudara kembarnya Helenus ilmu nujum. Sama sepertinya, Helenus sentiasa ramalkan dengan betul namun orang percayai Helenus dan bukannya Kassandra.

Kassandra ungkapkan berbagai ramalan namun semua orang tidak mempercayainya kecuali seorang, apabila Kassandra ketahui identiti sebenar Paris dan mengatakan bahawa Paris itu saudaranya sendiri yang diusir dahulu.[11] Kassandra ramalkan yang Paris akan menculik Ratu Helene dari Sparta untuk jadikan baginda isterinya dan akan cetuskan Perang Troy dan memberi amaran kepada Paris untuk tidak pergi ke sana. Helenus menguar-uarkan ramalan beliau, tetapi amarannya diabaikan. Kassandra nampak Helene datang ke Troy apabila Paris pulang dari Sparta. Walaupun orang ramai sukacita, Kassandra meragut layah emas Helene dan mencarik rambutnya, kerana beliau dapat lihat bahawa kedatangan Helene hanya akan membinasakan kota tersebut dalam Perang Troy.

Fall of Troy and aftermath

Ajax dan Kassandra oleh Johann Heinrich Wilhelm Tischbein, 1806

Kassandra dapat lihat kejatuhan Troy. Dalam pelbagai riwayat perang tersebut, Kassandra mengamarankan kepada rakyat Troy tentang tentera Yunani sedang bersembunyi di dalam Kuda Troy, kemangkatan Agamemnon, kematian beliau sendiri angkara Aigisthos dan Klytaimnestra, nasib bondanya Hecuba, pertualangan sepuluh tahun Odysseus sebelum pulang, dan pembunuhan Aigisthos dan Klytaimnestra oleh anak baginda Elektra dan Orestes. Kassandra meramalkan yang sepupunya Aeneas akan dapat lari semasa Troy jatuh dan mengasaskan negeri baru di Rom.[12] Tetapi, kesemua amarannya tidak diendahkan.[13]

Koroibos dan Othrioneus datang untuk menolong kota Troy dalam peperangan kerana kasih akan Kassandra namun mereka berdua terbunuh. Menurut satu laporan, Priam menawarkan Kassandra kepada Euripilos anak Telefos, supaya Euripilos akan berlawan bagi pihak Troy.[14] Kassandra juga merupakan individu pertama untuk lihat mayat abangnya Hektor di bawa balik ke kota.

Dalam The Fall of Troy, diceritakan oleh Quintus Smyrnaeus, Kassandra telah cuba mengamarankan rakyat Troy bahawa tentera Yunani sembunyi di dalam Kuda Troy semasa mereka sedang menjamu dan menyambut kemenangan mereka ke atas negeri Yunani. Mereka tidak percayakan beliau, dan mengutuknya dan menghinanya.[15] Beliau mengambil sebilah kapak dan sebatang obor untuk menghancurkan Kuda Troy dan membunuh tentera Yunani, tetapi rakyat Troy menghalangnya. Tentera Yunani yang berada di dalam kuda itu lega, tetapi terkejut dengan betapa benarnya Kassandra hampir membongkarkan rancangan mereka.

Semasa kejatuhan kota Troy, Kassandra berlindung di kuil Athena. Beliau memeluk patung kayu Athena dan berdoa supaya dia selamat, tetapi kemudian diculik dan diperkosakan oleh Ajax si Kecil. Kassandra memegang patung Athena dengan sungguh kuat sehingga Ajax harus tumbangkan ia dari pelantar dan mengherot Kassandra lari. Ada suatu pengisahan berkata bahawa Athena pun, yang telah membantu pihak Yunani untuk tawan Troy, tidak dapat menahan air matanya dan wajahnya menjadi merah dengan murka. Dalam pengisahan lain, pemerkosaan Kassandra menyebabkan roman Athena mengeluarkan bunyi yang sungguh dahsyat sehingga mengegarkan lantar kuil, sementara mata Athena berpaling daripada melihat Kassandra dicabul, namun ada yang mengatakan pengisahan ini hanyalah sekadar imaginasi. Kelakuan Ajax merupakan suatu pencabulan kerana Kassandra ialah perayu tempat suci tersebut, dan berada di bawah perlindungan sang dewi. Ajax kemudian lagi mencemari kuil tersebut dengan pemerkosaan Kassandra.[16]

Kassandra meletakkan dirinya di bawah perlindungan Pallas, Aimé Millet (1819-1891), Taman Tuileries, Paris

Odysseus bertegas kepada pembesar Yunani bahawa Ajax sepatutnya direjam sampai mati atas jenayahnya, yang telah menimbulkan kemurkaan Athena dan para dewa lain. Ajax selamatkan diri beliau, selepas beliau merayu perlindungan kepada haikal Athena, dan menyatakan sumpah bahawa beliau tidak bersalah. Athena akhirnya palak dan amarah dengan kegagalan Yunani untuk menghukum Ajax, dan membalas dendam sendiri dengan bantuan Poseidon dan Zeus. Poseidon menyeru ribut dan badai yang menhancurkan kapa-kapa Yunani yang pulang dari Troy. Athena sendiri menyumpah Ajax dengan kematian yang dahsyat. Orang negeri Lokri terpaksa meminta ampun atas jenayah Ajax dengan mengutuskan dua perawan ke Troy setiap tahun selama satu alaf sebagai hamba di kuil Athena. Tetapi, jika mereka tertangkap oleh penduduk sana sebelum tiba ke kuil, mereka akan dibunuh.

Dalam beberapa versi, Kassandra dengan sengaja meninggalkan sebuah peti di Troy, dengan sumpahan yang akan berpaut pada orang Yunani pertama yang membukanya. Di dalam peti tersebut ialah sebuah gambaran Dionysus, dibuat oleh Hefaistos dan dipersembahkan kepada pihak Troy oleh Zeus. Ia kemudiannya diberikan kepada pemimpin Yunani Eurypylus sebagai sebahagian daripada harta rampasan perang. Apabila beliau membuka peti itu dan melihat gambar dewa, beliau hilang akal.

Penangkapan dan kematian

Kassandra kemudiannya dijadikan seorang pallake (gundik) kepada Raja Agamemnon dari Mykenai. Tanpa pengetahuan Agamemnon semasa baginda berperang, permaisuri Klytaimnestra, telah khianatinya dengan curang bersama Aigisthos. Klytaimnestra dan Aigisthos kemudian membunuh kedua-dua Agamemnon dan Kassandra. Beberapa sumber mengatakan bahawa Kassandra dna Agamemnon mempunyai dua anak kembar, Teledamus dan Pelops, yang juga dibunuh oleh Aigisthos.

Selepas kematiannya, Kassandra tiba di Padang Elysion, dan rohnya yang selalu berpegang teguh kepada tuhan dihitung murni dan layak untuk masuk ke kayangan para dewa.[17]

Kassandra dikebumikan di Amyclae atau Mykenai. Dua bandar ini berbalah atas siapa yang benar-benar mempunyai kuburnya. Heinrich Schliemann amat yakin beliau telah menemui makam Kassandra semasa beliau menggali di Mykenai, kerana beliau terjumpa rangka seorang wanita dan dua orang bayi di dalam salah sebuah kubur di Mykenai.

Berkaitan