Kesan Kemaraan_Raksasa

Kemaraan Raksasa difahami ramai di luar China sebagai sebuah bencana ekonomi dan krisis kemanusiaan yang sewajarnya bergelar "Keunduran Raksasa" yang menjejaskan negara China pada tahun-tahun berikutnya. Sebaik sahaja pihak berkuasa perancangan menerima statistik yang tertokok tambah, arahan dikeluarkan untuk mengalihkan sumber manusia dari pertanian ke industri. Jumlah kematian lebihan rasmi yang dicatat di China sepanjang zaman Kemaraan Raksasa adalah 14 juta, tetapi para cendekiawan menganggarkan bilangan mangsa kebuluran di antara 20 dan 43 juta.[4]

Tahun 1959 hingga 1962 dikenali sebagai "Tiga Tahun Pahit" dan Tiga Tahun Bencana Alam. Ramai pegawai tempatan dibicarakan dan dihukum mati di khalayak awam kerana menyebarkan maklumat salah.[5]

Thaxton menilai kesan kebuluran terhadap para penduduk desa dengan ulasan ini: "Para orang kampung... sudah mengaitkan sosialisme dengan kebuluran, dan ejen-ejen parti dan negara ibarat bayangan maut."[3]

Kebuluran

Sejak awal 1980-an, para pengutuk Kemaraan Raksasa semakin hebat dengan hujah-hujah mereka. Kakitangan kerajaan A.S. Judith Banister menerbitkan sebuah rencana berpengaruh dalam China Quarterly, dan semenjak itu anggaran setinggi 30 juta kematian akibat Kemaraan Raksasa menjadi-jadi dalam akhbar A.S. Wim F Wertheim, profesor emeritus dari Universiti Amsterdam, membidas perangkaan yang dibentangkan itu kerana kekurangan sokongan saintifik.[6] Pihak-pihak yang membidas pendirian itu menyatakan pelbagai hasil penyelidikan oleh Aird (1982), Ashton et al. (1984), Peng (1987) dan sebagainya, yang bertujuan menyatakan kuantiti dalam impak Kemaraan Raksasa pada demografi. Masalahnya, semua cendekiawan ini menunjukkan anggapan mengenai kadar kelahiran yang digunakan dalam unjuran kematian akibat kebuluran yang paling banyak petikannya. Anggapan ini menyukarkan usaha menyukat jumlah kematian setepat-tepatnya.

Dr Ping-ti Ho, profesor sejarah di Universiti Chicago dan seorang pakar demografi China, dalam buku berjudul Studies on the Population of China, 1368-1953 (Harvard East Asian Studies No 4, 1959), turut menyatakan berbilang-bilang kepincangan dalam banci 1953 yang menjadi asas kepada unjuran kematian akibat kebuuran, tetapi juga mengakui kekurangan sumber yang lebih tepat.

Pengulas buku Mao: The Unknown Story karangan Jung Chang dan Jon Halliday sering memetik hasil kaji selidik ini sebagai bukti bahawa kiraan mayat mereka berdua (38 juta) mungkin dibesar-besarkan. Sebuah hasil kajian 1,100 muka surat oleh Yang Jisheng, seorang ahli parti komunis lama dan wartawan agensi berita Xinhua, menyatakan jumlah kematian Kebuluran Besar China pada 36 juta. Bukunya yang berjudul Tombstone mencabar pendirian rasmi Parti Komunis bahawa kebuluran tersebut terutamanya disebabkan "Tiga Tahun Bencana Alam" serta jujur menyalahkan dasar-dasar Mao, seperti mengalihkan pekerja pertanian kepada penghasilan keluli daripada bercucuk tanam, sambil mengeksport hasil tanaman ke luar negeri.[7][8]

Yang memperhatikan bahawa para pegawai parti tempatan tidak mengambil peduli terhadap bilangan rakyat jelata yang mati kebuluran di keliling mereka, kerana keutamaan mereka adalah penghantaran hasil tanaman yang dikehendaki oleh Mao untuk melangsaikan hutang berjumlah 1.973 bilion yuan kepada Kesatuan Soviet. Di Xinyang, ada orang yang mati kebuluran di pintu gudang bijian.[9] Mao enggan membuka pintu jelapang negara sambil menafikan laporan kekurangan makanan serta menuduh para petani menyorok hasil tanaman.[10]

Seperti kebuluran di Kesatuan Soviet pada tahun 1932–33, para petani terkurung dalam kampung masing-masing yang kebuluran akibat sistem pendaftaran isirumah,[11] dan kesan-kesan kebuluran yang paling teruk diarahkan terhadap musuh-musuh rejim.[12] Sesiapa yang dilabelkan "unsur hitam" (ketua agama, puak haluan kanan, petani kaya, dsb.) di mana-mana kempen diberikan keutamaan terendah dalam peruntukan makanan, maka dibiarkan mati beramai-ramai.[12] Lebih-lebih lagi, bukan semua kematian akibat Kemaraan Raksasa disebabkan kebuluran, kerana ramai yang diseksa dan dibunuh oleh pegawai komunis kerana gagal memenuhi kuota tanaman.[12]

Kesan kepada ekonomi

Pada zaman Kemaraan Raksasa, ekonomi China mula-mulanya bertumbuh. Penghasilan besi meningkat 45% pada 1958 dan 30% lagi dua tahun seterusnya, tetapi menjumam pada tahun 1961, dan tidak mencapai semula tahap 1958 sehingga tahun 1964.

Dalam dasar agraria, kegagalan bekalan makanan ketika Kemaraan Raksasa diatasi oleh pembubaran pengkolektifan secara beransur-ansur pada 1960-an yang membayangkan lagi pembubaran pengkolektifan secara menyeluruh di bawah kempimpinan Deng Xiaoping kelak. Ahli sains politik Meredith Jung-En Woo berhujah: "Tidak boleh dinafikan lagi, rejim gagal bertindak tepat pada masanya untuk menyelamatkan nyawa berjuta-juta petani, tetapi apabila bertindak, ia akhirnya mengubah mata pencarian beratus juta orang petani (secara sederhana pada awal 1960-an, tetapi berkekalan selepas pembaharuan Deng Xiaoping selepas tahun 1978.)"[13]

Kesan pada martabat Mao

Mao meletak jawatan sebagai Pengerusi Negara RRC pada tahun 1959, sambil bersedia bertanggungjawab terhadap kegagalan Kemaraan Raksasa, namun beliau mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi Parti. Liu Shaoqi (Pengerusi RRC baru) dan Deng Xiaoping (Setiausaha Am Parti) ditugaskan memulihkan ekonomi. Dasar Kemaraan Raksasa dikutuk hebat di persidangan parti di Lushan di wilayah Jiangxi, terutamanya oleh Menteri Pertahanan Kebangsaan Peng Dehuai yang rimas dengan kesan buruk yang mungkin dibawa oleh dasar-dasar Mao terhadap pemodenan angkatan bersenjata. Peng berhujah bahawa "pengutamaan politik" tidak boleh menggantikan undang-undang ekonomi dan dasar ekonomi yang realistik; sesetengah pemimpin parti juga ditegur kerana cuma "melompat selangkah ke dalam komunisme." Setelah bertengkar di Lushan, Peng Dehuai yang dikatakan menerima galakan Nikita Khrushchev untuk menentang Mao, digulingkan lalu diganti oleh Lin Biao.

Setelah Mao meninggal dunia dan bermulanya pembaharuan ekonomi China pimpinan Deng Xiaoping, kerajaan China semakin berani mengakui Kemaraan Raksasa sebagai malapetaka ekonomi serta menanggapnya berpunca daripada pujaan tokoh Mao Zedong, di samping mengakuinya sebagai salah satu kesalahan besar yang dilakukannya sejak penubuhan RRC.

Rujukan

WikiPedia: Kemaraan_Raksasa http://www.atimes.com/atimes/China/FD01Ad04.html. http://users.erols.com/mwhite28/warstat1.htm#Mao http://books.google.com/books?id=HQwoTtJ43_AC&dq=m... http://books.google.com/books?id=LQfeXVU_EvgC&pg=P... http://books.google.com/books?id=iC4g0gXBmIkC&pg=P... http://books.google.com/books?id=iC4g0gXBmIkC&prin... http://books.google.com/books?vid=ISBN0300054289&i... http://histclo.com/Country/other/china/hist/20/ch2... http://www.nytimes.com/2008/12/18/world/asia/18iht... http://www.palgrave-journals.com/ces/journal/v50/n...