Latar Kemaraan_Raksasa

Pada Oktober 1949, selepas tumpasnya Kuomintang, Parti Komunis China mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat China. Tuan tanah dan para petani kaya terpaksa menyerahkan tanah milik mereka untuk diagihkan semula di kalangan petani miskin. Jenis-jenis tanaman yang dilabelkan "penuh kejahatan" oleh pihak Parti seperti candu, dimusnahkan lalu diganti dengan tanaman lain seperti padi. Ahli-ahli Parti hebat membahaskan pengagihan semual ini. Paksi sederhana dalam Parti dan ahli Politburo Liu Shaoqi berhujah bahawa perubahan sewajarnya dilakukan beransur-ansur dan apa-apa langkah pengkolektifan kaum tani harus menunggu sehingga tibanya pengindustrian yang diharapkan menyediakan jentera pertanian untuk memajukan perladangan. Paksi pimpinan Mao Zedong yang lebih radikal setuju bahawa cara terbaik untuk membiayai pengindustrian adalah kerajaan menguasai bidang pertanian, dan dengan itu memonopoli pengedaran dan bekalan tanaman, sekaligus membolehkan kerajaan membeli hasil tani pada harga rendah lalu menjualnya pada harga yang lebih tinggi, untuk mengutip modal yang diperlukan untuk mengindustrikan negara.

Setelah didapati bahawa dasar ini tidak disambut baik oleh para petani, dicadangkan pula bahawa para petani wajar dikawal oleh Parti melalui penubuhan kolektif pertanian yang juga memudahkan perkongsian peralatan dan haiwan penarik. Dasar ini dilaksanakan secara beransur-ansur dari tahun 1949 hingga 1958, bermula dengan penubuhan "pasukan bantuan bersama" yang setiap satunya terdiri daripada 5-15 isirumah, diikuti "koperasi pertanian asas" yang dianggotai 20-40 isirumah pada tahun 1953, dan "kooperatif tertinggi" 100-300 keluarga pada tahun 1956. Pembaharuan ini tidak disambut baik oleh para petani kerana biasanya dilaksanakan dengan mengarahkan mereka untuk bermesyuarat dan kekal dalam tempat mesyuarat selama berhari-hari ataupun berminggu-minggu sehingga mereka "bersukarela" menyertai kolektif.

Selain perubahan ekonomi ini, Parti melaksanakan perubahan sosial besar di kawasan desa, termasuk pembasmian segala institusi dan upacara keagamaan dan mistik yang diganti dengan perjumpaan politik dan sesi propaganda, di samping cubaan meningkatkan mutu pendidikan luar bandar dan taraf wanita (membolehkan wanita memulakan perceraian jika berhasrat) dan menamatkan amalan ikat kaki, perkahwinan kanak-kanak dan ketagihan candu. Pasport dalaman (sistem hukou) diperkenalkan pada tahun 1956, untuk menyekat perjalanan tanpa kebenaran sewajarnya. Keutamaan tertinggi diberikan kepada proletariat di bandar yang menyambut penciptaan negara kebajikan.

Fasa pertama pengkolektifan tidak begitu berjaya, apatah lagi berlakunya kebuluran berleluasa pada tahun 1956, tetapi jentera propaganda Parti masih mengumumkan hasil tuaian semakin meningkat. Paksi sederhana dalam Parti, termasuk Zhou Enlai, berhujah agar amalan pengkolektifan dihentikan. Pendirian paksi sederhana diperkukuh oleh "ucapan rahsia" oleh Nikita Khrushchev pada tahun 1956 yang mendedahkan kezaliman Joseph Stalin sambil menekankan kegagalan dasar-dasar pertaniannya termasuk pengkolektifan di Kesatuan Soviet.

Pada tahun 1957, Mao menjawab ketegangan dalam Parti dengan menggalakkan kebebasan bersuara dan mengkritik dengan Kempen Seribu Bunga. Apabila ditinjau kembali, sesetengah pihak mendakwa bahawa inilah dalih untuk membolehkan pembidas rejim, khususnya golongan cendekiawan tetapi juga ahli-ahli bawahan parti yang kritis terhadap dasar pertanian, untuk memperkenalkan diri mereka.[2] Apatah lagi, dikatakan bahawa Mao menyebelahi pihak yang kurang tolak ansur setelah dasarnya menerima tentangan hebat. Selepas itu, lebih kurang 500,000 orang diusir dalam kempen Anti-Haluan Kanan yang berjaya melenyapkan segala pembangkang dalam Parti atau pakar pertanian terhadap perubahan yang dilaksanakan dalam Kemaraan Raksasa.

Setelah habisnya Rancangan Ekonomi Lima Tahun pertama pada tahun 1957, Mao mula meragui sama ada jalan sosialisme yang diambil oleh Kesatuan Soviet adalah sesuai untuk China. Beliau membidas tindakan Khrushchev menarik balik dasar Stalin serta dirimaskan oleh pemberontakan di Jerman Timur, Poland dan Hungary, di samping persepsi bahawa Kesatuan Soviet sedang mencari-cari cara "hidup bersama secara aman" dengan kuasa Barat. Oleh itu, Mao yakin bahawa China harus mengikut jalan Komunisme sendiri.

Menurut Jonathan Mirsky, seorang sejarawan dan wartawan yang mengkhusus dalam hal-ehwal China, pemencilan China dari kebanyakan negara lain di dunia, di samping [[Perang Korea], telah memecutkan serangan Mao terhadap musuh-musuh setempatnya, sehingga mempengaruhi pemesatan rekaannya untuk membangunkan ekonomi di mana rejim menikmati faedah maksimum dari pencukaian luar bandar.[3]

Sebelum Kemaraan, para petani mengusahakan tanah-tanah kecil milik sendiri, sambil memegang amalan tradisi yang berkaitan dengan pasaran, baik perayaan, jamuan, mahupun menyembah nenek moyang.[3] Mulai tahun 1954, para petani digalakkan membentuk dan menyertai kolektif, yang kononnya meningkatkan kecekapan mereka tanpa kehilangan tanah atau mengekang mata pencarian.[3] Walau bagaimanapun, pada tahun 1958, pemilikan persendirian dilarang sepenuhnya, dan semua isi rumah seluruh China dipaksa menyertai komun kendalian kerajaan. Mao bertegas bahawa komun-komun tersebut mesti menghasilkan lebih tanaman untuk dibekalkan kepada bandar serta memperoleh tukaran asing untuk eksport.[3]

Rujukan

WikiPedia: Kemaraan_Raksasa http://www.atimes.com/atimes/China/FD01Ad04.html. http://users.erols.com/mwhite28/warstat1.htm#Mao http://books.google.com/books?id=HQwoTtJ43_AC&dq=m... http://books.google.com/books?id=LQfeXVU_EvgC&pg=P... http://books.google.com/books?id=iC4g0gXBmIkC&pg=P... http://books.google.com/books?id=iC4g0gXBmIkC&prin... http://books.google.com/books?vid=ISBN0300054289&i... http://histclo.com/Country/other/china/hist/20/ch2... http://www.nytimes.com/2008/12/18/world/asia/18iht... http://www.palgrave-journals.com/ces/journal/v50/n...