Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (
Tulisan Jawi: كمنترين ڤرداڬڠن انتارابڠسا دان ايندوستري) ialah sebuah kementerian di bawah kerajaan persekutuan
Malaysia. Kementerian ini diberi tanggungjawab menyelia kegiatan perdagangan yang dijalankan oleh Malaysia di peringkat antarabangsa seperti
import dan
eksport selain menyelaras kegiatan dan dasar-dasar perindustrian negara ini. Dengan ibu pejabat di
Kuala Lumpur, ia merupakan satu-satunya kementerian yang tidak berpindah ke pusat pentadbiran baru kerajaan persekutuan,
Putrajaya. Hal ini berikutan keputusan kerajaan mengekalkan
Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan, ekonomi dan perindustrian kebangsaan. Kementerian ini yang ditubuhkan bermodelkan kementerian yang sama di
Jepun mengetuai usaha-usaha penggalakan pelaburan asing di Malaysia melalui
Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia, agensi yang dipertanggungjawabkan kepadanya yang mempunyai pejabat di beberapa buah negara dagang utama Malaysia, seperti
Amerika Syarikat,
Jepun,
Australia,
United Kingdom dan
Jerman. Selain itu, kakitangan MITI yang diketuai oleh seorang menteri mewakili negara ini dalam rundingan berkaitan perjanjian-perjanjian perdagangan dengan negara asing seperti
Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Kementerian ini kini diketuai oleh
Darell Leiking.