Pengelasan Kemimikan

Terdapat pelbagai jenis kemimikan yang dikelaskan mengikut fungsi yang dimanfaatkan oleh si mimik (seperti menyelamatkan diri), tetapi parameter lain juga diterima, oleh itu perlunya pengelasan berbilang dimensi untuk memahami gambaran sepenuhnya. Oleh yang demikian, ada yang tergolong dalam lebih daripada satu kelas, cth. automimik dan kemimikan agresif tidak saling eksklusif, kerana satu menerangkan hubungan spesies antara model dan mimik, manakala yang satu lagi menerangkan fungsi pemimikannya (mencari makanan).

Pertahanan

Macroxiphus sp memimik semut.

Kemimikan pertahanan atau perlindungan dimanfaatkan oleh hidupan untuk mengelakkan pertembungan yang membahayakan nyawanya, dengan memperdaya musuhnya agar melayannya seperti benda lain. Terdapat empat jenis kemimikan pertahanan yang dikenalpasti, iaitu:

  • kemimikan Bates: mimik yang tidak berbahaya menyamar sebagai berbahaya
  • kemimikan Müller: dua spesies berbahaya berkongsi ciri-ciri yang tampak serupa
  • kemimikan Mertens: mimik berbahaya menyerupai model yang tidak seberapa mengancam tetapi bertindak sebagai pengajaran
  • kemimikan Vavilov: rumpai menyerupai tanaman

Bates

Rencana utama: Kemimikan Bates
Lalat bunga memimik tebuan bersengat.Sesetengah burung hawk-cuckoo menyerupai burung helang, misalnya Shikra.[12]

Dalam kemimikan Bates, si mimik berkongsi isyarat yang serupa dengan model, tetapi tidak memiliki sifat yang membolehkannya dijauhi oleh pemangsa ("tidak sedap"). Dalam erti kata lain, mimik jenis ini ibarat kambing memakai kulit harimau. Kemimikan Bates dinamakan sempena Henry Walter Bates, seorang ahli alamiah Inggeris yang mempelopori bidang ini dengan mengkaji kupu-kupu di hutan hujan Amazon.[13][14] Si mimik paling sukar ditemui apabila kurang kerap ditemui berbanding modelnya, iaitu fenomena yang bergelar pemilihan bersandarkan kekerapan negatif yang digunakan dalam bentuk-bentuk kemimikan yang lain kecuali kemimikan Müller yang diterangkan nanti. Contoh:

  • Rama-rama Podosesia syringae dalam famili Sesiidae, merupakan mimik kepada tebuan biasa secara Bates keranan ia menyerupai tebuan, tetapi tidak berdaya menyengat. Pemangsa yang tahu mengelakkan sengatan tebuan pasti juga mengelakkan rama-rama ini.
  • Sesetengah rama-rama yang sedap menghasilkan ketik-ketik ultrabunyi untuk memimik rama-rama harimau yang tidak sedap.[15]
  • Ular Tedung Palsu (Malpolon moilensis) ialah sejenis ular berbisa sedikit dalam famili Colubridae, yang memimik "tudung" ular tedung India yang mengancam.
  • Ular susu menyerupai ular karang yang berbahaya.
  • Tebuan Vespidae dimimik oleh beberapa serangga tak berbahaya seperti rama-rama, kumbang dan lalat bunga.
  • Sotong kurita yang bergenus Thaumoctopus berupaya mengubah bentuk dan warna badan untuk menyerupai ular laut atau ikan gedempu yang berbahaya.[16]

Müller

Rencana utama: Kemimikan Müller
Kupu-kupu Heliconius dari kawasan tropika Hemisfera Barar menjadi contoh terbaik untuk kemimikan Müller.[17]

Kemimikan Müller adalah dua atau lebih spesies yang memiliki isyarat amaran atau aposematik yang amat serupa, serta berkongsi sifat-sifat anti-pemangsa yang sebenar (cth. menjadi tidak sedap). Pada mulanya, Bates tidak dapat menjelaskan mengapa terjadinya begini; jika kedua-duanya berbahaya, mengapa satu perlu memimik yang satu lagi? Seorang ahli alamiah dari Jerman, Fritz Müller mengemukakan penjelasan pertamanya mengenai fenomena ini: Jika kedua-duanya sukar dibezakan oleh seekor pemangsa bersama, maka individu dalam kedua-dua spesies lebih berpeluang untuk terselamat.[18][19] Jenis kemimikan ini adalah unik kerana si mimik dan si model saling mendapat manfaat dari interaksi ini. Penerima isyarat juga mendapat manfaat dari sistem ini, iaitu mengelakkan pertembungan yang berbahaya meskipin terpedaya oleh identiti spesies. Identiti mimik dan model yang lazimnya jelas turut menjadi kabur. Adakalanya apabila satu spesies lebih jarang berbanding spesies yang lain, spesies jarang itu boleh dikatakan sebagai mimik. Apabila kedua-dua spesies agak sama-rata bilangannya pula, boleh dikatakan kedua-duanya menjadi mimik bersama dan bukan spesies 'mimik' dan 'model' yang berbeza, kerana kedua-duanya mengeluarkan isyarat amaran yang bertumpu kepada satu makna yang sama.[20]

Contoh:

  • Kupu-kupu monarch (Danaus plexippus) berkongsi corak warna dan kelakuan dengan Kupu-kupu Wizurai (Limenitis archippus) dalam kompleks Müller. Kupu-kupu Wizurai terbahagi kepada subspesies yang agak berbeza-beza corak warnanya, setiap satunya amat memadani spesies Danaus setempat. Cth. di Florida, subspesies Wizurai setempat menyerupai Kupu-kupu Ratu, dan Mexico, Wizurainya menyerupai Kupu-kupu Askar. Oleh itu, kupu-kupu Wizurai ini merupakan satu spesies tunggal yang terlibat dalam tiga pasangan Müller yang berbeza.[21] Contoh ini pernah lama disangka sebagai contoh kemimikan Bates, iaitu Wizurai sebagai mimik dan Monarch sebagai model, tetapi baru-baru ini ditentukan bahawa sebetulnya Wizurailah yang lebih tidak sedap, itupun tertakluk pada variasi ketara sesama individu.[22] L. archippus memang tidak sedap dimakan, tetapi spesies Danaus bertoksik kerana berbeza makanannya.
  • Pelbagai jenis lebah dan tebuan Vespidae dan Sphecoidea: Serangga ini terkenal kerana belang kuning hitam yang aposematik. Si betina amat berbahaya kepada pemangsa, tetapi si jantan tidak mengancam, oleh itu si jantan boleh menjadi automimik kepada si betina. Ada juga banyak genus dalam kelompok penyengat ini yang betinanya tidak boleh menyengat, apapun masih berwarna aposematik (cth., genus Cerceris), oleh itu dikira sebagai mimik Bates.

Emsley/Mertens

Ular Karang Texas, Micrurus tener

Kemimikan Emsley[5] atau Mertens menerangkan hidupan berbahaya memimik spesies yang tidak berbahaya. Kemimikan ini mula-mulanya diusulkan oleh Emsley[23] sebagai jawapan yang berkemungkinan kepada masalah kemimikan Coral Snake di benua Amerika, kemudian diterangkan secara lebih terperinci oleh ahli biologi Jerman, Wolfgang Wickler[6] yang menamakannya sempena pakar herpetologi Jerman, Robert Mertens.[24]

Senario sebegini agak sukar difahami, kerana bagi jenis kemimikan lain, selalunya spesies yang paling berbahaya menjadi model, tetapi jika pemangsa mati, ia tidak boleh belajar mengenali isyarat amaran, cth. corak warna terang-terangan. Dalam erti kata lain, tiada manfaatnya sifat aposematik bagi hidupan yang boleh membunuh mana-mana pemangsa yang berjaya diracuninya; haiwan sebegini lebih baik menyamar sahaja untuk mengelak dari diserang. Namun demikian, jika wujudnya spesies lain yang berbahaya tetapi bukan membunuh serta aposematik, pemangsa akan belajar mengenali warna-warna amaran tertentu dan menghindari haiwan-haiwan sebegitu. Oleh itu, beruntunglah spesies berbahaya yang memimik hidupan aposematik yang kurang berbahaya itu, jika ini menyebabkan kurangnya serangan terhadap haiwan yang melakukan penyamaran.Contoh:

  • Sesetengah subspesies Ular Susu (Lampropeltis triangulum) (tak berbahaya), Ular Karang Palsu (genus Erythrolamprus) yang agak bertoksik, dan Ular Karang pembunuh semuanya berwarna latar merah berbelang hitam kuning/putih. Dalam sistem ini, ular susu dan ular karang adalah mimik, manakala ular karang palsu menjadi model.

Automimik

Automimik atau kemimikan intraspesies berlaku dalam spesies yang sama, seperti satu anggota tubuh hidupan serupa dengan satu anggota lain. Contohnya, ular yang ekornya menyerupai kepala dan menunjukkan kelakuan seperti bergerak mengundur untuk mengelirukan pemangsa, atau serangga dan ikan yang berbintik mata di belakang tubuhnya agar menyerupai kepala. Apabila si jantan memimik si betina atau sebaliknya, ini dipanggil kemimikan seks.