Kerabunan

Kerabunan (kata dasar: rabun) atau lebih khusus disebut ralat biasan atau ralat refraktif adalah masalah penglihatan disebabkan kekurangan menumpukan cahaya dengan tepat pada retina kerana bentuk mata.[1] Jenis kerabunan yang paling biasa dialami adalah rabun dekat, rabun jauh, astigmatisme, dan presbiopia. Rabun dekat menyebabkan objek jauh kabur, rabun jauh dan presbiopia mengakibatkan objek dekat kabur, dan astigmatisme menyebabkan objek kelihatan meregang atau kabur. Gejala lain mungkin termasuk penglihatan berganda, sakit kepala, dan ketegangan mata.Rabun dekat disebabkan oleh panjang bola mata terlalu panjang, rabun jauh adalah kerana bola mata terlalu pendek, astigmatisme pula disebabkan oleh bentuk kornea yang salah, dan presbiopia berlaku kerana penuaan lensa mata sehingga tidak dapat berubah bentuk dengan cukup.[1] Beberapa ralat pembiasan berlaku lebih kerap di kalangan mereka yang ibu bapa turut menghadapi perkara yang sama. Diagnosis dilakukan melalui pemeriksaan mata.Masalah kerabunan diperbaiki dengan pemakaian cermin mata, kanta lekap, atau pembedahan.[1] Cermin mata adalah kaedah pembetulan yang paling mudah dan selamat. Kanta lekap boleh memberikan medan penglihatan yang lebih luas; namun ia berisiko untuk mendapat jangkitan. Pembedahan pembiasan mengubah bentuk kornea secara kekal.Jumlah individu di dunia dengan masalah ralat bias atau rabun penglihatan telah dianggarkan antara satu hingga dua bilion orang.[2] Kadarnya berbeza antara kawasan di dunia dengan sekitar 25% orang Eropah dan 80% orang Asia terjejas.[2] Rabun dekat adalah gangguan yang paling biasa.[3] Kadar di kalangan orang dewasa adalah antara 15-49% sementara kadar di antara kanak-kanak antara 1.2-42%.[4] Rabun jauh lebih kerap mempengaruhi kanak-kanak kecil dan orang tua.[5][6] Presbiopia mempengaruhi kebanyakan orang yang berumur 35 tahun ke atas.[1]Bilangan individu dengan masalah rabun mata yang belum diperbaiki dianggarkan berjumlah 660 juta (10 per 100 orang) pada tahun 2013.[7] Dari jumlah tersebut, 9.5 juta orang buta kerana ralat bias atau rabun penglihatan lanjut. Ini adalah salah satu penyebab kehilangan penglihatan yang paling biasa bersama dengan katarak, degenerasi makula, dan kekurangan vitamin A. [8]