Keterlarutan

Keterlarutan (Bahasa Inggeris: solubility) ialah sifat boleh larut[1] bahan pepejal, cecair atau gas yang dinamakan zat terlarut (solute) dalam pelarut pepejal, cecair atau gas untuk membentuk larutan homogen zat terlarut itu di dalam pelarut. Keterlarutan suatu bahan bergantung kepada ciri-ciri fizikal dan kimia zat terlarut dan pelarut, di samping kepada suhu, tekanan dan nilai pH larutan tersebut. Setakat mana satu bahan terlarut dalam pelarut tertentu diukur sebagai penumpuan ketepuan, ketika mana zat terlarut tidak boleh lagi larut dalam pelarut dan tidak boleh menambah penumpuan larutan itu.Selalunya, pelarut terdapat dalam bentuk cecair yang boleh jadi bahan tulen atau campuran. Terdapat juga larutan pepejal tetapi larutan dalam gas jarang didapati (sebaliknya, lihat keseimbangan wap-cecair).Darjah keterlarutan menjangkau daripada "boleh larut secara tidak terhingga" (tanpa had) (tercampur sepenuhnya) seperti etanol dalam air, hingga ke "tidak terlarut dengan baik" seperti argentum klorida dalam air. Istilah tidak boleh larut biasanya digunakan untuk menjelaskan sebatian-sebatian yang tidak terlarut dengan baik atau sangat tidak terlarut.Dalam sesetengah keadaan, keterlarutan keseimbangan boleh diatasi untuk menghasilkan larutan tepu tampau yang bersifat metastabil.Jangan dikelirukan keterlarutan dengan kemampuan melarut atau mencecairkan bahan, kerana sesuatu larutan mungkin terbentuk bukan sahaja kerana pelarutan tetapi juga kerana tindak balas kimia. Zink, misalnya, tidak boleh larut dalam asid hidroklorik, tetapi ia tetap terlarut dalam asid tersebut kerana tindak balas kimia yang menukarkan zink dan asid hidroklorik kepada gas hidrogen dan zink klorida yang boleh larut dalam asid hidroklorik.