Kitab_Kejadian

Kitab Kejadian adalah buku pertama di dalam Alkitab agama Yahudi dan Kristian. Ia juga adalah buku pertama di dalam Taurat Musa. Ia dikenali di dalam bahasa Ibrani sebagai B'reshit [1] (בראשית) manakala di dalam bahasa-bahasa Eropah, ia lazimnya dikenali dengan nama yang diperolehi daripada nama bahasa Yunani, Genesis (Γένεσις) yang membawa maksud "kelahiran", "penciptaan", "permulaan", "sumber" ataupun "asal-usul" [2].Kitab Kejadian mengisahkan penciptaan alam semesta, asal usul manusia, permulaan dosa dan penderitaan di dunia, serta cara Allah [3] berhubung dengan manusia [4]. Secara amnya, para cendekiawan berpendapat bahawa Kitab Kejadian dibahagikan kepada dua bahagian utama; iaitu Sejarah Purbakala yang direkodkan dari Kejadian 1-11 dan Kitaran Asal-Usul yang direkodkan dari Kejadian 12-50 [5]. Kitab Kejadian besar kemungkinan telah ditetapkan susunannya menjelang kurun ke-5 sebelum Masehi dengan sejarah penulisan yang mungkin telah bermula sejak kurun ke-10 sebelum Masehi. Umat Yahudi, Kristian dan Islam yang alim mempercayai bahawa sumber asal isi Kitab Kejadian berpunca terus daripada wahyu Tuhan.