Pelancongan Kota_Tinggi

Air Terjun Kota Tinggi di Lombong

Kota Tinggi juga dikenali sebagai sebuah bandar bersejarah kerana Kesultanan Johor yang diasaskan oleh Sultan Mahmud Shah terletak di sini. Terdapat banyak makam sejarah di sini, termasuk Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (makam Sultan Mahmud Shah II) dan Makam Tauhid di Kampung Makam. Makam Laksamana Bentan pula terletak di Kampung Kelantan dan Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid juga di Kampung Makam. Terdapat sebuah muzium di Kampung Johor Lama yang mengisahkan Kesultanan Johor dengan lebih terperinci. Banyak tinggalan-tinggalan bangunan bersejarah, makam-makam dan artifak yang dipercayai daripada tinggalan Kota Johor Lama yang boleh anda lawati. Cerita sejarah ini pernah difilemkan pada tahun 1960-an dengan diberikan nama "Dang Anom". Barisan pelakon yang membintangi filem ini termasuklah Allahyarham Nordin Ahmad sebagai Laksamana Bentan.

Air terjun yang terletak di Lombong, 16 kilometer di barat laut bandar ini, merupakan destinasi pelancongan yang amat terkenal. Setinggi 36 meter, air terjun ini terletak di kaki Gunung Muntahak yang mempunyai ketinggian 634 meter. Air sungai yang dingin mengalir melintasi beberapa kolam yang cetek. Keindahan semula jadi di beberapa bahagian tempat ini telah dicemarkan oleh pembangunan tempat peranginan dengan seni taman buatan.

Terdapat juga banyak pantai di sepanjang pinggir laut Kota Tinggi. Pantai-pantai paling terkenal ialah Tanjung Balau, Desaru, Batu Layar dan Tanjung Sedili yang masing-masing terletak 58 km, 55 km, 62 km dan 45 km dari bandar Kota Tinggi. Chalet-chalet dan hotel-hotel boleh didapati di sepanjang pantai.

Teluk Sengat yang terletak 25 kilometer di timur bandar Kota Tinggi merupakan kampung makanan laut yang terkenal di kalangan pelancong.

Untuk sampai ke Kota Tinggi orang ramai yang melalui Lebuhraya Utara-Selatan boleh menggunakan susur keluar Tol Kulai. Kota Tinggi tidak mempunyai laluan kereta api tetapi pengunjung masih boleh menggunakan kemudahan ini melalui Stesen KTM Johor Bahru yang merupakan Stesen terdekat. Jaraknya 42 kilometer dari bandar Kota Tinggi.