Sejarah Kumpulan_Innuendo

Innuendo ditubuhkan pada tahun 1992 oleh Reymee sewaktu masih bersekolah dalam tingkatan empat. Beliau mewarisi darah seni daripada bapanya, Hussein Idris yang merupakan pemain dram dan penyanyi kumpulan muzik 70-an iaitu The Strollers. Namun begitu, kesukaran mendapatkan anggota yang benar-benar meminati muzik R&B soul menyebabkan pertukaran anggota sentiasa berlaku dalam kumpulan ini.

Pada tahun 1995, Innuendo telah diberi peluang menjadi artis pembuka tirai untuk konsert kumpulan R&B Amerika Syarikat, All-4-One yang berlangsung di Kuala Lumpur. Selepas itu bakat mereka menarik perhatian beberapa syarikat rakaman namun kumpulan ini memilih untuk bernaung di bawah payung Positive Tone.

Album sulung eponim Innuendo diterbitkan oleh Ahmad Izham Omar dan Paul Moss, berada di pasaran pada Mei 1997 dan mula mendapat perhatian pendengar menerusi rakaman semula lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Carefree pada tahun 1979 iaitu Belaian Jiwa. Lagu ini memang digemari oleh Innuendo dan tanpa diduga telah memahat nama mereka sebagai antara bakat baru paling menyerlah ketika itu.

Innuendo di AIM 1998

Innuendo memecah rekod Anugerah Industri Muzik ke-5 apabila membolot enam anugerah, Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik, Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Album Inggeris Tempatan Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Belaian Jiwa) dan Lagu Terbaik (Selamanya) menerusi album sulung mereka. Rekod tersebut kekal sehingga ke hari ini sebagai pencapaian jumlah kemenangan terbanyak dalam satu edisi sahaja.

Pada tahun 1998 juga Innuendo meraih empat anugerah dalam Anugerah Video M iaitu Video Muzik Terbaik dan Video Muzik Inovatif menerusi lagu "Belaian Jiwa", serta Persembahan Artis Terbaik dan Fotografi Terbaik menerusi lagu "Just For You".

Pada tahun 1999 Innuendo mendapat penghargaan Carta RIM sebagai album Inggeris tempatan paling lama bertahan dalam carta.

Penampilan sebagai trio untuk album kedua

Album kedua Innuendo, BrandNuEndo menyusul pada tahun 2001. Bagaimanapun dalam album ini Sam tidak lagi bersama Innuendo. Menerusi album ini Innuendo telah meraih anugerah Video Muzik Terbaik (untuk lagu "Nanti") dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (untuk lagu "Only Dancin") pada Anugerah Industri Muzik ke-9 yang diadakan pada tahun 2002.

Selepas itu Pot dan Taj lebih banyak menumpukan perhatian kepada kerja-kerja belakang tabir penerbitan album artis-artis lain dan juga syarikat milik mereka iaitu The Promised Clan Sdn. Bhd. (TPC) yang ditubuhkan untuk mengembangkan bakat-bakat baru dari arena 'underground' ke pentas arus perdana. Artis pertama yang dinaungi TPC ialah kumpulan Ruffedge dan V.E.

Pada tahun 2005 kesemua anggota Innuendo telah membawa haluan masing-masing.