Sejarah Kumpulan_Senario

Kumpulan Senario telah ditubuhkan pada tahun 1996 hasil gabungan daripada 7 peserta finalis Sinaran Pasport Kegemilangan yang pernah diadakan pada tahun 1995 bilamana pada tahun itu, Shamsul Ghau Ghau telah dinobatkan sebagai juara dan Mazlan Ahmad menjadi naib juara tersebut.

Kumpulan ini pada asalnya dianggotai oleh Farouk Hussain selaku yang mengetuai kumpulan Senario, serta anggota kumpulan iaitu Wahid, Ilya, Hamdan, Shamsul, Azlee dan Mazlan. Nama Senario ini diambil daripada idea Farouk yang menggelarkan mereka sebagai kumpulan "senang riuh" dan akhirnya menjadi Senario Setelah dilhamkan kembali oleh Shamsul Ghau Ghau. Mereka diberi kepercayaan menjayakan program TV sendiri, juga bernama Senario pada Jun 1996 dengan empat episod pengenalan yang membawa watak komedi. Ternyata, sitkom komedi itu telah mendapat sambutan dan mereka diambil sebagai kakitangan TV3.

Tidak lama selepas itu, Farouk dan Shamsul keluar daripada Senario dan mereka bergerak berlima sehinggalah Ilya dan Hamdan turut mengundurkan diri sekitar tahun 1998. Kemudian Senario menjadi empat selepas kemasukan Saiful Apek dan kemudian berlima dengan kehadiran Yassin Yahya. Senario ialah kumpulan pelawak yang paling terkenal ketika berlima dengan dianggotai oleh Wahid, Azlee, Lan, Yassin dan Saiful Apek. Namun, pada tahun 2002, Yassin telah terpaksa menarik diri daripada Senario kerana kontraknya telah tamat dan berlaku kontroversi sehingga nama Senario sedikit tercalar. Seterusnya, Saiful Apek juga telah mengundurkan diri daripada Senario kerana ingin bergerak secara solo pada tahun 2004. Selepas tahun 2005, Azlee, Lan dan Wahid merupakan anggota Senario yang tinggal dan aktif sehingga tahun 2013. Setelah itu, kumpulan tersebut telah kurang mendapat publisiti disebabkan kehadiran pelawak-pelawak baru yang mula menyinar.

Pada Tahun 2014, Kumpulan Senario dianugerahkan dengan Anugerah Komedi Sepanjang Zaman. Kesemua ahli Kumpulan Senario hadir bersama-sama di Anugerah Lawak Warna 2014 untuk menerima pengiktirafan tersebut.

Bermula tahun 2017, Kumpulan Senario bersama bekas anggota kumpulan tersebut seperti Hamdan, Ilya, Saiful Apek dan Yassin telah bergabung semula dengan membentuk nama baru iaitu Senariounion. Kumpulan ini juga ingin menjemput semula anggota yang terawal seperti Shamsul Ghau-Ghau dan Farouk Hussein (penampilan jemputan).[perlu rujukan]

Senario merupakan kumpulan lawak pertama yang menyertai Anugerah Juara Lagu sehingga ke separuh akhir pada tahun 2001 dan di final pada tahun 2006. Ini merupakan satu sejarah dalam dunia muzik di tanahair kerana Senario berjaya memberikan saingan kepada penyanyi-penyanyi yang lain serta mempunyai lirik yang berunsurkan nasihat walaupun bukan daripada bidang nyanyian dan ini merupakan satu kejayaan yang amat bermakna bagi Senario sendiri.

Senario juga merupakan antara kumpulan pelawak yang mempunyai filem lebih banyak daripada pelawak yang lain dengan pengarah filem yang berbeza seperti Aziz M. Osman yang mengarahkan 5 buah filem bersama Senario iaitu Senario The Movie (1999), Senario Lagi (2000), Lagi-Lagi Senario (2001), Senario XX (2005) dan Senario Pemburu Emas Yamashita (2006). Pengarah lain yang mengarahkan filem-filem Senario adalah seperti Lang Buana (2003) arahan Mamat Khalid, Senario The Movie : Epsidoe 1 (2008) dan Senario The Movie : Episode 2 - Beach Boys (2009) arahan Ahmad Idham, Senario Asam Garam (2010) arahan Hatta Azad Khan dan Senario The Movie Ops Pocot (2011) arahan Ismail 'Bob' Hashim.