Ledukan
Ledukan

Ledukan

Ledukan[1], juga boleh dikenali sebagai ledosan[2][3] (bahasa Inggeris: implosion) ialah proses sesuatu objek dimusnahkan melalui runtuhan (atau himpitan) ke dalam diri objek itu. Bertentangan dengan proses letupan (yang melibatkan pengembangan isi padu), ledukan melibatkan pengurangan isi padu asal sesuatu objek dan menumpukan jirim dan tenaga. Ledukan sebenar biasanya melibatkan perbezaan sangat besar antara tekanan dalaman (yang lebih rendah) dan tekanan luaran (yang lebih tinggi), sehingga struktur sesuatu objek tersebut runtuh ke dalam diri objek itu sendiri, atau ke dalam ruang kosong yang dipenuhi oleh objek itu sekiranya objek tersebut bukannya bersifat pepejal penuh. Contoh-contoh ledukan termasuklah kapal selam yang dihancurkan dari luar oleh tekanan hidrostatik air di sekelilingnya[4] dan keruntuhan najam gergasi disebabkan tekanan gravitinya sendiri.Ledukan berupaya untuk mencampakkan bahan sesuatu objek itu ke luar (contohnya: berpunca dari daya pantulan semula sejurus runtuhan dalaman sesuatu bahan, atau bahan periferal terlenting keluar apabila bahagian dalam runtuh), tetapi pencampakan bahan ini bukanlah ciri-ciri terpenting untuk berlakunya ledukan dan bukan semua jenis ledukan akan terhasilnya pencampakan bahan. Jika objek itu pada asalnya memang sudah pun pepejal, maka ledukan biasanya mengakibatkan sesuatu objek itu untuk mengambil bentuk yang lebih padat - menghasilkan sesuatu yang lebih pekat, lebih mampat, lebih tumpat, atau sehingga bahan sesuatu objek ditukar kepada bahan baharu yang lebih tumpat daripada bahan asalnya.