Contoh Ledukan

Senjata nuklear

Dalam reka bentuk senjata nuklear jenis ledukan, sfera plutonium, uranium, atau bahan boleh belah yang lain diledukkan oleh cas letupan yang disusun dalam bentuk sfera. Hal ini mengurangkan isi padu bahan dan dengan itu meningkatkan ketumpatannya dari dua sehingga tiga kali ganda, menyebabkan ia mencapai jisim kritikal dan menghasilkan letupan nuklear.

Dalam beberapa bentuk senjata termonuklear, tenaga hasil letupan ini kemudiannya digunakan untuk meledukkan sesuatu kapsul bahan api lakuran sebelum menyalakannya, sehingga menyebabkan tindak balas pelakuran (sila lihat reka bentuk Teller-Ulam). Secara amnya, penggunaan sinaran untuk meledukkan sesuatu, seperti dalam bom hidrogen atau dalam lakuran terkurung inersia dipacu laser, dikenali sebagai ledukan sinaran.

Dinamik bendalir

Peronggaan (pembentukan gelembung atau runtuhan dalam sesuatu bendalir) melibatkan proses ledukan. Apabila sesuatu gelembung peronggaan terbentuk dalam cecair (contohnya, oleh bebaling air berkelajuan tinggi), gelembung ini biasanya teruntuh atau diledukkan dengan laju oleh cecair sekeliling.

Astrofizik

Ledukan adalah bahagian terpenting dalam keruntuhan graviti bintang berjisim besar, yang boleh membawa kepada penciptaan supernova, bintang neutron dan lohong hitam.

Dalam kebanyakan situasi, bahagian paling dalam sesuatu bintang berjisim besar (yang dipanggil teras) berhenti terbakar dan tanpa sumber haba ini, daya yang memisahkan elektron dan proton tidak lagi cukup kuat untuk berbuat demikian. Teras tersebut runtuh ke dalam dirinya sendiri dengan sangat cepat, dan menjadi bintang neutron atau lohong hitam; lapisan luar bintang asal tersebut jatuh ke dalam dan mungkin melantun keluar dari bintang neutron yang baru dicipta (jika ada), sehingga terbentuknya supernova.

Perobohan struktur terkawal

Rencana utama: Ledukan bangunan

Bangunan-bangunan besar yang terdiri dari pelbagai jenis struktur seperti kerja batu, rangka keluli atau konkrit bertetulang boleh berubah menjadi runtuhan bahan yang mudah diangkut keluar, melalui cara pemusnahan terpilih struktur sokongan sesuatu bangunan tersebut menggunakan proses letupan berurutan dan terbatas. Matlamat proses ini adalah untuk membataskan bahan sesuatu bangunan tersebut ke kawasan tertentu sahaja, biasanya untuk mengelakkan bahaya terhadap struktur bangunan berdekatan. Teknik ini melibatkan pencetusan sesuatu bahan ledakan yang diletakkan tepat di bahagian struktur bangunan tertentu dalam selang masa spesifik. Proses ini menggunakan graviti untuk menyebabkan pusat bangunan runtuh secara menegak sambil menarik struktur sisi bangunan tersebut ke dalam secara serentak. Proses ini juga seringkali diterangkan secara salah sebagai proses ledukan.

Ledukan tiub sinar katod dan lampu pendarfluor

Hampagas tinggi wujud dalam semua tiub sinar katod. Jika lapisan kaca luar retak, ledukan berbahaya mungkin berlaku. Disebabkan oleh kuasa ledukan, kepingan kaca boleh dilancarkan ke luar pada halaju berbahaya. Walaupun tiub sinar katod moden yang digunakan dalam televisyen dan paparan komputer mempunyai plat muka yang diselaputi oleh epoksi atau adanya langkah-langkah lain untuk mengelakkan lapisan kaca tiub itu pecah, tiub sinar katod yang dikeluarkan daripada peralatan mesti dikendalikan dengan berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan pada diri sendiri.[5]

Ledukan tiub sinar katod, gambar diambil dengan denyar jurang udara berkelajuan tinggi Tiub hampagas yang meleduk, gambar diambil dengan denyar jurang udara berkelajuan tinggi