Sejarah Lembaga_Urus_Air_Selangor

Sejarah penubuhan LUAS adalah bermula dari arahan Jemaah Menteri pada Julai 1997 yang lalu yang meminta Kementerian Pertanian dan seterusnya Kerajaan Negeri Selangor supaya mengkaji cadangan bagi menubuhkan suatu badan untuk menguruskan sungai dan sumber air secara yang bersepadu dengan mengambil Sg. Selangor sebagai projek perintis dan ‘Thames River’ di United Kingdom sebagai model pelaksanaan. Sehubungan dengan itu penyelarasan peranan dan bidangkuasa antara agensi serta antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah dibuat bagi mempastikan tidak wujudnya sebarang pertindihan fungsi dan tanggungjawab serta melicinkan perjalanan institusi yang baru ini. LUAS merupakan agensi ulung di dalam pengurusan sumber air dan lembangan sungai yang dilengkapi dengan peruntukan perundangan dan penguatkuasaan. Sekiranya perlaksanaan ini berjaya maka ia boleh dijadikan contoh atau model untuk digunapakai bagi lembangan-lembangan sungai yang lain di seluruh Negara.

Sebagai sebuah agensi setempat, LUAS dipertanggungjawabkan bagi mempastikan sumber air, lembangan sungai, perairan pantai serta alam persekitaran Negeri Selangor berada di dalam keadaan terpelihara dengan peningkatan kualiti melalui pengurusan sumber air dan lembangan sungai secara yang holistik, bersepadu dan lestari. Antara aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan termasuklah perancangan, penyelidikan, pengezonan, pengurusan maklumat; pengurusan alam sekitar; pembangunan, kendalian dan selenggaraan; perundangan dan penguatkuasaan serta perkhidmatan korporat.