Pengendalian London_Underground

Tiket dan tambang

Kad Oyster, kad pintar tanpa sentuh yang digunakan dalam sistem pengangkutan London

Dalam menetapkan tambang, TfL menggunakan zon Travelcard. Greater London dibahagikan kepada enam buah zon dengan Zon 1 terletak di tengah-tengah bandar London manakala Zon 6 terletak di pinggir London termasuklah Lapangan Terbang Heathrow. Terdapat juga Zon 7, 8 dan 9 iaitu stesen-stesen aliran Metropolitan yang terletak di luar Greater London.[35] Terdapat kaunter tiket yang diselia oleh staf tetapi dibuka pada waktu yang telah ditetapkan, manakala mesin tiket dapat digunakan sepanjang waktu. Mesin tiket ini pula ada yang menerima syiling, wang kertas dan kad kredit; beberapa buah pula ada yang hanya menerima sama ada duit syiling atau kad kredit sahaja.

Pada tahun 2003, TfL memperkenalkan kad Oyster iaitu sekeping kad pintar dengan cip tanpa sentuh RFID yang boleh digunakan oleh para penumpang dengan hanya menambahkan wang dan membayar tambang perjalanan dengannya. Kad ini juga boleh dipadukan dengan Travelcard. Seperti Travelcard kertas, kad ini boleh digunakan dalam Underground, Overground, DLR dan perkhidmatan-perkhidmatan National Rail di dalam Greater London. Dalam usaha menggalakkan penumpang memilih kad Oyster daripada Travelcard kertas dan juga bayaran secara tunai, TfL telah menetapkan harga tambang yang lebih rendah sekiranya tambang dijelaskan melalui kad ini.[36]

Denda dan pengelakan membayar tambang

Di samping pintu tiket automatik yang dikawal oleh staf, Underground juga dipantau oleh pegawai pemeriksaan tiket yang mengenakan uniform dan juga berpakaian preman dengan pembaca kad Oyster mudah alih. Penumpang tanpa tiket yang sah untuk perjalanannya dikenakan denda sebanyak £50 (atau £25 sekiranya dijelaskan dalam tempoh 21 hari) dan boleh didakwa kerana mengelak untuk menjelaskan tambang dalam Peraturan Akta Kereta Api 1899. Pesalah boleh dikenakan denda sebanyak £1,000 atau tiga bulan penjara. Manakala pengguna kad Oyster yang tidak menyentuh masuk ketika dalam perjalanan (atau tidak menyentuh keluar walaupun telah menyentuh masuk) akan ditolak sebanyak £6 (pada waktu puncak; £4.30 waktu luar puncak) daripada baki kad. Sekiranya pengguna Oyster tidak menyentuh masuk dan diperiksa oleh pegawai yang berkenaan turut dikehendaki membayar denda £50 (atau £25 sekiranya dijelaskan dalam tempoh 21 hari) dengan baki kad tidak ditolak.

Waktu beroperasi

Perkhidmatan Underground tidak berjalan selama 24 jam sehari kecuali pada Tahun Baru peristiwa-peristiwa besar seperti Jubli Emas Ratu Elizabeth pada tahun 2002 dan juga Upacara Pembukaan dan Penutup Olimpik London 2012. Hal ini disebabkan oleh kebanyakan aliran yang hanya mempunyai dua laluan (satu dalam setiap arah) yang perlu ditutup pada waktu malam untuk urusan pembersihan dan kerja-kerja pembaikan yang telah dirancang. Kereta api yang pertama mula beroperasi pada kira-kira jam 4.45 pagi secara umumnya untuk perjalanan yang singkat seperti Osterley-Heathrow di aliran Piccadilly. Manakala bahagian-bahagian lain bermula pada jam 5.30 pagi dan berakhir pada jam 1.00 pagi.

Ketersampaian

Ketersampaian bagi penumpang yang mempunyai masalah dalam bergerak di stesen-stesen tidak diambil kira sewaktu sistem ini mula dibina. Hal ini menyebabkan kebanyakan stesen yang lama tidak sama sekali mesra OKU. Hanya stesen-stesen yang baru dibina mempunyai ciri-ciri rekaan mesra OKU. Walau bagaimanapun, sebarang penambahan ciri-ciri mesra OKU yang bakal ditambah terhadap stesen-stesen lama tadi akan melibatkan kos yang sangat tinggi serta sukar dilaksanakan dari segi teknikal dan juga mustahil untuk diimplementasikan. Adanya lif dan tangga gerak sekalipun, kadang kala pengguna perlu melangkah ke pelantar lif atau tangga gerak dan juga pelantar platform.

Kebanyakan stesen pada aras tanah dibina dengan tangga dari aras jalan, manakala sebahagian besa stesen yang dibina dalam tanah mewajibkan pengguna untuk menyelusuri tangga ataupun menggunakan salah sebuah daripada 410 buah lif yang berada dalam sistem ini. Ada juga stesen yang memerlukan pengguna berjalan dalam jarak yang signifikan dan juga menelusuri tangga bagi tiba di platform. Misalnya tangga kecemasan di Covent Garden, mempunyai 193 anak tangga untuk ke pintu keluar yang bersamaan dengan mendaki bangunan 15 tingkat.[37] Oleh sebab yang demikian, pengguna disyorkan supaya menggunakan lif kerana risiko yang ada ketika meniti tangga.

TfL menyediakan peta yang menunjukkan stesen yang mampu dicapai oleh penumpang OKU. Sejak tahun 2004 lagi, stesen yang bertanda kerusi roda menandakan stesen tersebut boleh disusuri dari aras jalan. Jarak melangkah dari platform ke kereta api boleh menjangkaui 300 mm (11.8 in). Juga ruang yang lebih besar boleh terhasil apabila kereta api berhenti di platform yang bengkok. Hanya bahagian aliran Jubilee yang dipanjangkan sahaja dapat dicapai sepenuhnya.

Rujukan

WikiPedia: London_Underground //www.amazon.com/dp/B0006C7PD2 http://static.scribd.com/docs/6wfl4g62vle8w.swf?IN... http://www.timeout.com/london/features/2816.html http://news.bbc.co.uk/1/hi/england/london/8620188.... http://www.nationalrail.co.uk/tocs_maps/tocs/LT.as... http://www.railwaysarchive.co.uk/documents/DoT_KX1... http://www.telegraph.co.uk/travel/destinations/eur... http://www.watfordobserver.co.uk/news/1855280.numb... http://legacy.london.gov.uk/assembly/reports/trans... http://www.london.gov.uk/sites/default/files/10-11...