Mak_Enon

Mak Enon atau nama sebenarnya Amon @ Ainon Chik dilahirkan di Geylang Serai, Singapura pada tahun 1911. Ayahnya berdarah Bugis, manakala ibunya pula berketurunan Cina. Keluarganya berasal dari Kuching, Sarawak. Beliau adalah anak bongsu dari empat beradik. Beliau memang dari kecil lagi meminati bangsawan. Selain sering menonton pertunjukan wayang bangsawan, Mak Enon sesekali mencuri masuk ke dalam panggung. Pembabitannya dalam dunia seni bermula sebagai pelakon bangsawan pada tahun 30-an di Singapura, ketika umurnya 16 tahun. Ketika itu beliau menjadi penyanyi bidan terjun untuk satu persembahan bangsawan Wak Naning dengan menyanyikan lagu Aladdin dan Cik Mamat. Kedua-dua lagu ini dinyanyikan Miss Tijah, yang popular ketika itu. Nyanyian Mak Enon menarik perhatian seorang pemilik kumpulan bangsawan yang kemudian mengambilnya sebagai pekerja tetap dengan gaji RM40 sebulan. Sejak itulah, beliau dikenali ramai dan sering menyertai persembahan bergerak di Indonesia. Antara kumpulan bangsawan yang pernah disertainya ialah City Opera, Genani Star Opera dan panggung New World Hall. Empat tahun kemudian, beliau bergelar Seri Panggung atau primadona dan bersama-sama Kumpulan Royal Opera, Mak Enon dibawa menjelajah Palembang, Sumatera dan Jawa. Semasa bersama kumpulan inilah, Mak Enon bertemu jodoh dengan seorang pemuzik bernama Kassim. Mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 1932. Malangnya, jodoh mereka tidak panjang apabila berpisah tidak lama selepas itu. Sepanjang hayatnya, Mak Enon pernah berkahwin beberapa kali. Antara suaminya ialah Shariff Baboo, Hamzah Dolmat (Allahyarham) dan pelakon Haji Mahadi (Allahyarham). Hasil perkahwinannya itu, beliau memperolehi 16 orang anak tetapi lapan daripadanya meninggal dunia dan mempunyai 30 orang cucu. Pada tahun 1950, Mak Enon kembali ke Singapura selepas bertahun-tahun berada di Indonesia. Beliau aktif dalam dunia seni dengan menjadi anak joget di Singapore New World. Ketika berada di kelab ini, Mak Enon memiliki keistimewaanya tersendiri iaitu berkebolehan menyanyi dalam bahasa Jepun, Tamil, Jawa, Hindustan dan Minangkabau. Pada 1945, Mak Enon dipilih memegang peranan Prince Hamlet untuk drama pementasan Inggeris arahan Shariff Medan. Pementasan berjudul Prince Hamlet dibuat atas permintaan kerajaan Inggeris. Pada 1960 ketika berumur 49 tahun, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dan memulakan penghidupan baru dengan berniaga nasi lemak.