Minuman Masakan_China

Dalam budaya Cina tradisional, minuman sejuk dipercayai mengganggu penghadaman makanan panas, maka barang-barang seperti air berais atau minuman ringan tidak dihidangkan ketika waktu makan. Selain sup, jika adapun minuman lain, maka minuman itu mungkin sekali teh atau air panas. Teh dipercayai membantu pencernaan makanan yang berminyak. Sungguhpun begini tradisinya, dewasa ini bir dan minuman ringan makin kerap disertakan dengan makanan. Satu kombo yang biasa dijumpai di kebanyakan kedai makan kecil di sesetengah tempat di China ialah periuk panas yang disajikan dengan bir sejuk, iaitu kombinasi yang dikenali sebagai lěng dàn bēi ("冷淡杯", har. cawan sejuk tawar, walaupun kuat rasanya), iaitu bertentangan dengan apa yang disarankan tradisi. Idea-idea dari herbologi Cina turut mempengaruhi kombinasi makanan yang digemari dalam hidangan tradisional Cina.