Kerjaya Masya_Masyitah

Pada tahun 2011, Masya Masyitah terpilih sebagai salah seorang peserta rancangan TV realiti kanak-kanak Bintang Kecil terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan dinobatkan sebagai naib juara.[2] Tiga tahun kemudian, iaitu pada 2014, beliau menjadi salah seorang peserta rancangan TV realiti Ceria Popstar musim kedua di Astro Ceria di bawah bimbingan penyanyi Hazama dan dinobatkan sebagai juara, ketika itu beliau berusia 14 tahun.[1]

Selepas tamat Ceria Popstar, Masya bersama enam finalis rancangan itu muncul dengan album kompilasi Ceria Popstar 2 terbitan Warner Music Malaysia. Album ini dikeluarkan pada November 2014.[3]

Beliau berhasrat untuk melebarkan kerjayanya ke China.[4][5] Ini terbukti apabila beliau menjadi naib juara Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong 2016.[6]

Masya menandatangani kontrak bersama Rocketfuel Entertainment dan seterusnya muncul bersama single sulungnya bersama label itu, "Mawar Terbiar", diikuti oleh single kedua, "Halimunan".[7] Sebelum "Mawar Terbiar" dan "Halimunan", Masya terlebih dahulu merakamkan single pertama, "Teman Bintang".[8]

Pada 7 Oktober 2018, Masya membuat kemunculan bersama Sufian Suhaimi di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-31 dengan mempersembahkan lagu "Di Matamu". Persembahan mereka mendapat pujian daripada penonton.[2]

Beliau menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam rancangan realiti nyanyian China, The Coming One musim ketiga yang berlangsung pada Mei 2019. Selain itu, Masya turut diundang menjayakan program ulang tahun ke-45 kempen Hubungan Diplomatik Malaysia-China anjuran Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia.[9]

Masya juga telah dicalonkan dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular.[10] Beliau terpilih mewakili China di Festival Lagu-lagu China yang berlangsung pada 17 September 2019 di Nanning, China.[11] Beliau turut menjayakan konsert jelajah Mysista bersama Jeryl Lee yang diadakan pada Oktober dan Disember 2019 di Genting Highlands, Pahang.[12] Masya juga telah memenangi Anugerah Muzik Asia 2019 bagi kategori Artis Muda Paling Berpotensi, yang berlangsung di Shenzhen, China.[13][14]

Pada Julai 2020, Masya melancarkan single terbaharu, "Hapus" hasil karya Amy Bong dan Zimi.[15] Lagu ini berkisarkan tentang seorang lelaki yang curang di hadapan kekasihnya sendiri.[15] Muzik videonya telah diterbitkan bagi mempromosikan single ini, ia dibintangi oleh Hun Haqeem.[16]

Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila telah dinobatkan sebagai juara pertandingan pencarian bakat antarabangsa, Yippi Star Quest 2020 yang berlangsung pada 24 Oktober 2020, menewaskan penyanyi Filipina, Phem sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$40,000 (RM160,000).[17]

Rujukan

WikiPedia: Masya_Masyitah https://www.astroawani.com/berita-hiburan/menang-a... https://www.facebook.com/masyamasyitah https://gempak.com/artikel/12482/masya-masyitah-be... https://gempak.com/artikel/39142/masya-masyitah-ma... https://www.instagram.com/masyitahmasya/ https://twitter.com/masyamasyitah https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2019/... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2019/... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/...