Sinopsis Melanchong_Ka_Tokyo

Rosnah (Saadiah) merupakan seorang wanita dari Malaysia yang memenangi satu peraduan dengan ganjaran melancong ke Tokyo dan segala perbelanjaan ditanggung oleh pihak penganjur. Kunio (Asao Matsomoto) dan Mariko (Motoko Furukawa) telah ditugaskan untuk menjadi pemandu Rosnah bersama bapa saudaranya, Ali (S. Kadarisman) semasa mereka berada di Tokyo. Mariko mencintai Kunio tanpa pengetahuannya. Tetapi, Kunio tidak mencintai Mariko kerana terpikat dengan kejelitaan Rosnah. Rosnah tidak dapat menerima cinta Kunio kerana sudah mempunyai kekasih di kampungnya yang bernama Darus (Aziz Jaafar). Sikap Rosnah yang jujur itu telah melukakan hati Kunio kerana mengetahui kedudukan yang sebenar. Mariko pula kecewa dengan sikap Kunio yang lebih mementingkan Rosnah daripada dirinya.[1]

Apabila Mariko memberitahu perkara yang sebenar kepada Rosnah tentang perasaanya terhadap Kunio, Rosnah cuba menjauhkan diri daripada Kunio. Rosnah juga berusaha untuk merapatkan hubungan antara Kunio dan Mariko. Kebijaksanaan Rosnah dalam menjalankan rancangannya telah menemui hasil yang sangat baik. Kunio dan Mariko berterima kasih kepada Rosnah kerana budi baiknya dalam merapatkan hubungan mereka sesuai dengan bangsa dan budaya yang ada. Setelah tamat percutiannya, Rosnah pulang ke kampung dan berlaku sedikit perselisihan faham. Pada peringkat awal, Darus cemburukan Rosnah yang disangkanya mempunyai hubungan dengan Kunio. Tetapi akhirnya, mereka berdua berkahwin.[1]