Kerjaya Modread

Modread ditubuhkan semasa mereka menyertai pertandingan Hot FM Twisties Bingit pada Disember 2008. Kumpulan ini dinobatkan sebagai pemenang pertandingan itu dengan lagu kemenangan mereka, "Revolusi". Lagu ini berjaya menduduki kedudukan teratas di Carta Hot FM 30.[1]

Single kedua mereka, "Pendrama" mendapat sambutan yang baik dari pendengar dan menaiki carta lagu di Hot FM, Fly FM (#1 selama 4 minggu di Campur Chart) dan juga XFM.[1] "Neeruza Ozawa" dikeluarkan sebagai single ketiga kumpulan ini, menjadi lagu yang menjadikan mereka terkenal di industri muzik. Lagu yang juga menampilkan video muzik pertama dari kumpulan ini berjaya menduduki kedudukan teratas di Hot FM. Lagu ini juga dicalonkan dalam rancangan Muzik Muzik.

Modread kemudian melancarkan single keempat mereka, "Cerita Sedih" yang mendapat putaran meluas di stesen radio tempatan, mendahului carta lagu muzik. Modread muncul dengan rancangan TV mereka sendiri dengan Twisties yang dinamakan Modread Raya pada 2009 bersama Bunkface sebagai kumpulan tamu. Rancangan ini disiarkan di TV3 pada musim Hari Raya.[1] Modread juga merupakan salah satu artis terpilih untuk turut serta dalam kempen "Everyone Connects" anjuran Telekom Malaysia (TM) bersama artis lain termasuk Tomok, Shila Amzah, Mila Jirin, Dafi dan Akim.

Modread juga telah merakam dua lagu saduran yang menampilkan Black Mentor; "Jerangkung Dalam Almari" oleh Wings, dan "Kopi Dangdut" oleh Fahmi Sahab dengan susunan muzik mereka sendiri yang diberikan nafas baru.

Modread mengeluarkan EP, Modread's Portfolio yang terdiri daripada 5 lagu popular mereka yang mana ia diedarkan kepada pelajar Malaysia di Jerman dan United Kingdom pada Julai 2010. Kumpulan ini kemudian melancarkan single kelima, "Sinar Perangga".

Album sulung mereka, Pengembaraan Neeruza Ozawa dikeluarkan pada 30 Mac 2012, mengandungi 9 lagu. Modread paling dikenali apabila mereka menjuarai rancangan TV realiti Versus musim ke-2 di TV9, mengalahkan Kyoto Protocol dan Oh Chentaku. Ketika itu Modread bertanding diatas nama Manifesto dan mereka telah mendapat khidmat Tomok (bekas vokalis New Boyz) sebagai vokalis dan Ainol (bekas pemain dram Deja Voodoo Spells) sebagai pemain dram.[1][3] Modread kemudian memutuskan untuk berehat panjang dari aktiviti muzik mereka selepas itu. Mereka muncul kembali pada 2018 menerusi tiga lagu baharu—"Buat Aku Tersenyum", "Mengarut"[4] dan "Melarayu".[5]