Penyediaan Nasi_ayam_Hainan

Nasi ayam.

Daging ayam disediakan melalui kaedah tradisional Hainan iaitu merebus seluruh seekor ayam dalam pati tulang ayam atau khinzir, mengguna semula air rebusan berbanyak kali dan hanya mengisi semula dengan air jika perlu, segalanya menurut citarasa orang Cina terhadap penghasilan "pati asal". Pati ini tidak digunakan untuk penyediaan nasi, yang sebaliknya melibatkan pati ayam yang dihasilkan khusunya untuk tujuan tersebut, maka hasilnya nasi yang berminyak dan berperisa yang kadang-kadang digelar "nasi minyak". Sesetengah tukang masak membubuh santan kelapa ke dalam nasi, meniru gaya penyediaan nasi lemak.

Orang Hainan lebih gemar ayam yang matang dan gempal untuk memaksimumkan amaun minyak yang diekstrak, maka terhasilnya sajian yang lebih kuat rasanya. Lama-kelamaan, sajian ini mula menerapkan unsur-unsur gaya pemasakan Kantonis seperti menggunakan ayam yang lebih muda untuk daging yang lebih lembut. Dalam satu variasi yang lain, ayam dicelup dalam ais setelah dimasak untuk menghasilkan kulit selicin jeli, iaitu Báijī (白鸡) atau "ayam putih", berbanding dengan Lǔjī (卤鸡, "ayam pati") yang lebih tradisional, juga dikenali sebagai Shāojī (烧鸡) atau "ayam panggang". Di Singapura, di mana arus pemodenan menyukarkan pengekalan dan penyimpanan pati asal jangka masa panjang, daging dimasak melalui perebusan dalam air berperisa bawang putih dan halia, kemudian pati yang dihasilkan diguna dalam penyediaan nasi dan juga dalam sup yang mengiringinya.

Sajian ini sering dihidangkan beserta sebilangan cecahan, termasuk sos cili dan serbuk halia. Di Hainan juga sering dihidangkan sos ketiga yang beramuankan sos tiram bercampur dengan bawang putih, manakala kicap pekat lebih diutamakan di Malaysia/Singapura. Versi Malaysian/Singapura bagi cili pula lebih pedas, mencerminkan pengaruh Asia Tenggara, dan boleh juga melibatkan campuran cili dengan bawang putih. Kebanyakan hidangan nasi ayam ini disajikan dengan hirisan timun, iaitu bayangan bagi citarasa orang Cina yang gemar kepelbagaian untuk sajian yang lebih lengkap.