Kerjaya Nordin_Salleh

Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai di Majlis Amanah Rakyat (MARA). Antara sumbangan beliau semasa berkhidmat di MARA termasuklah mewujudkan inisiatif untuk pendidikan Bumiputera melalui pemberian biasiswa kepada para penuntut yang menyambung pengajian mereka di Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom.

Beliau juga terlibat secara langsung dalam merangka dasar dan polisi bagi penubuhan Institut Teknologi MARA (ITM).

Ketika berada di United Kingdom, beliau pernah bertugas sebagai Pengurus di ICI International, Slough, London dan kemudian ke Calcutta, India.

Lembaga Letrik Negara pernah mendapatkan khidmat beliau sebagai Perunding Pengurusan yang menjurus kepada 'meMalaysiakan' LLN dan melahirkan para pegawai dan jurutera tempatan untuk terlibat secara langsung dalam urus tadbir korporat.

Beliau mencipta sejarah sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan termuda yang dilantik ketika berusia 31 tahun. Beliau telah berjaya meningkatkan keuntungan dalam anak-anak syarikat seperti Great Eastern Mills, Ladang Sungai Terah, Kijang Kuari dan Kelantan Baja Corporation (KBC) yang menjurus kepada peningkatan pendapatan kerajaan negeri Kelantan.

Kejayaan terbesar beliau adalah setelah menjadi Pengerusi Eksekutif Wing Tiek Holdings Berhad, beliau berjaya mengetuai projek khas untuk menstruktur semula syarikat tersebut bagi memulihkan masalah dalamannya akibat krisis ekonomi global ketika itu. Usaha beliau tersebut telah diiktiraf oleh Business Initiative Directions (BID) yang bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dengan menanugerahkan International Arch of Europe Award (IAE) 2001 di Frankfurt, Jerman.

Selain daripada itu, beliau juga adalah Pengarah Sabah Shipyard Berhad.