Penerbitan Oh!_La_La

Penerbit dan pengarah filem ini, Datuk Abdul Rahman Salehuddin memberitahu bahawa beliau mendapat inspirasi untuk menghasilkan filem ini pada tahun 2009 selepas menonton filem-filem animasi luar negara seperti Show White, Toy Story dan Brave. Setelah membuat kajian, beliau mendapati rakyat Malaysia menyukai muzik dan sukan dan seterusnya mendorong beliau untuk menghasilkan filem ini. Filem animasi yang mendapat kerjasama daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ini turut mendapat bantuan dana kerajaan menerusi geran daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan dana kerajaan sebanyak RM2 juta.[4]

Filem ini menggunakan 100 peratus kepakaran tenaga seni kreatif anak-anak muda Melayu yang berbakat dalam bidang animasi, lakonan, nyanyian dan muzik .Mereka terdiri daripada bekas-bekas pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam usaha memberikan identiti, budaya dan warisan Melayu Nusantara, pihak produksi juga telah mengadaptasi tiga buah lagu keroncong iaitu Keroncong Kuala Lumpur ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Keroncong Bengawan Solo dan Keroncong Kemayoran yang kesemuanya telah dirakam semula oleh pelajar-pelajar Aswara, selain 14 buah lagu asal. Filem ini turut dipasarkan di MIPCOM, Cannes, Perancis pada Oktober 2015.

Lebih daripada itu, filem animasi muzikal Oh! La La juga akan diperluas ke beberapa negara lain termasuk Sepanyol, Turki dan Australia.[5]

Untuk mempromosikan filem ini, pertandingan mewarna telah diadakan di Cempaka International School, Cheras pada 6 Mei 2015.[6]