Lokasi Okunoin

Terletak di pinggir penempatan Koya, tanah perkuburan itu menjangkau lebih daripada 2 km (1.2 bt) panjang dan dikelilingi hutan pokok konifer yang tinggi. Rekod penanaman terawal pokok-pokok ini, yang kebanyakannya tergolong dalam genera Cryptomeria dan Chamaecyparis, berasal dari tahun 1012. Semak samun di sekitar makam Kūkai asalnya dibiarkan tetapi hanya tinggal sedikit sahaja kawasan hutan semula jadi itu pada masa kini, kerana sebahagian besar hutan telah ditebang semasa era Meiji, pada akhir abad ke-19.[3]

Mengikut kepercayaan popular, selepas ditempatkan di makamnya pada tahun 835, Kūkai memasuki samadhi kekal (khayal tafakur) dan masih hidup di Gunung Kōya, menunggu Maitreya, Buddha masa depan.[4] Tempat persemadiannya di Okunoin sejak itu telah menjadi tempat penziarahan, dan sami-sami Buddha membawakan persembahan dan makanan dua kali sehari.[1]

Tanah perkuburan

Pintu masuknya berada di hadapan jambatan Ichi-no-hashi. Dari situ, sebatang laluan pejalan kaki berturap dengan batu buntar yang 2 km panjang menghalakan pelawat ke arah makam, melepasi lebih daripada 200,000 kubur, yang sebahagian besarnya adalah sami dan datuk-datuk feudal.[1][5]

Jambatan Gobyō-bashi menandakan pintu masuk ke tempat suci dalaman Okunoin. Di situ, pelawat boleh menuangkan air ke atas patung gangsa Mizumuke Jizō, untuk mendoakan roh nenek moyang mereka.[6]

Makam Kūkai

Laluan pejalan kaki berakhir di Tōrō-dō, dewan sembahyang utama, dibina betul-betul di hadapan Gobyō, makam Kūkai. Lebih daripada sepuluh ribu tanglung, disumbangkan oleh penziarah dan jemaah, dinyalakan di dalam dewan itu selama-lamanya;[7] dua daripadanya dikatakan telah dinyalakan tanpa henti selama lebih 900 tahun.[6] Pada tahun 1984, 50,000 patung telah didermakan untuk ulang tahun ke-1150 pengebumian Kūkai dan terletak di ruang bawah tanah dewan itu. Makam itu sendiri pula, terletak di belakang Tōrō-dō, adalah tempat suci yang tidak boleh dimasuki orang awam.[7]

Bahagian moden

Pintu masuk kedua terletak di hadapan perhentian bas Okunoin-mae, menuju ke bahagian tanah perkuburan yang lebih baru.[7] Sebilangan besar makam korporat boleh didapati di sini, biasanya dibeli oleh syarikat-syarikat Jepun untuk pekerja dan keluarga mereka. Yang pertamanya dibina oleh Kōnosuke Matsushita, pengasas Panasonic, pada tahun 1938. Beberapa tugu peringatan dibina untuk menarik perhatian pengunjung, seperti tugu peringatan untuk menghormati anai-anai yang dibunuh oleh syarikat pembasmian. Satu lagi tugu peringatan dari ShinMaywa Industries menampilkan model berskala besar roket Saturn V yang membawa Apollo 11 ke Bulan, walaupun syarikat itu tiada kaitan dengan misi tersebut.[8]

Rujukan

WikiPedia: Okunoin https://www.bbc.com/travel/article/20160308-an-eer... https://web.archive.org/web/20240119142359/https:/... https://web.archive.org/web/20240229075428/https:/... https://web.archive.org/web/20190319163817/https:/... https://web.archive.org/web/20070927213255/http://... https://web.archive.org/web/20240119142404/https:/... https://web.archive.org/web/20240119164210/https:/... https://web.archive.org/web/20231028175818/https:/... https://web.archive.org/web/20190131154253/https:/... https://books.google.com/books?id=m9KTEAAAQBAJ&pg=...