Sejarah Padang_Jawa

Kampung Padang Jawa ini merupakan diantara salah sebuah kampung yang tertua di dalam Daerah Klang di mana ia telah wujud sejak tahun 1880.

Pada asalnya kampung ini terbahagi kepada beberapa kawasan kampung. Kawasan - kawasan ini ialah Kampung Berangan (sekarang dikenali sebagai kawasan Jalan Berangan), kawsan Teluk Benta (sekarang dikenali sebagai kawasan Jalan Tengas dan Jalan Mat Raji) dan kawasan Padang Lalang (sekarang dikenali sebagai Sungai Rasa Dalam (Kulon) atau kampung Rimba Jaya. Nama Kampung padang Jawa mula dikenali apabila seorang pendekar yang bernama Wak Kairan telah datang membuka kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai kawasan Rimba Jaya (dahulu sebuah estet). Beliau sangat disanjungi oleh masyarakat setempat dan terkenal dengan kepandaian dalam ilmu persilatan. Oleh itu ramai orang yang datang ke kampung ini untuk mempelajari seni mempertahankan diri (silat) kerana ramai guru silat dan pendekar menetap di sini.

Memandangkan keperluan keretapi di kalangan penduduk pada masa itu, maka Wak Kairan telah memohon kepada pihak pemerintah ketika itu (Inggeris) untuk didirikan sebuah stesen keretapi di kawasan ini. Wak Kairan telah mencadangkan nama stesen keretapi ini dengan nama Stesen Kampung Padang Jawa. Semenjak itu kampung ini terkenal dengan nama tersebut dan sedikit demi sedikit maka lenyaplah nama lama Kampung Berangan, Teluk Benta dan Padang Lalang.

Sebelum tahun 1960-an, Kampung Padang Jawa merupakan sebuah kawasan pertanian. Oleh itu ia terkenal dengan kawasan dusun buah-buahan dan tangkapan hasil sungai seperti ikan dan udang galah. Pekerjaan utama penduduk pada masa itu ialah sebagai pekebun getah, buruh dan nelayan. Sungai Klang yang merentasi kampung ini menjadi sumber rezeki kepada nelayan dengan hasil tangkapan yang banyak. Di peringkat awal, jumlah penduduk hanya sekitar 300 orang sahaja.

Suasana kampung tradisi ini mula berubah dengan pesat apabila revolusi industri melanda persekitaran kampung ini pada tahun 1960-an. Banyak kawasan industri tumbuh di kawasan ini seperti Sungai Rasa, Padang Jawa, Batu Gajah (Seksyen 17, Shah Alam)dan Shah Alam. Penduduk kampung yang terlibat dengan aktiviti pertanian sebelumnya telah bertukar pekerjaan daripada seorang petani dan nelayan kepada pekerja kilang.

Penduduk kampung ini juga semakin bertambah dengan pesat apabila berlaku penghijrahan penduduk dari negeri-negeri di Semenanjung ke kawasan ini. Kampung ini ibarat "lombong emas" kepada pendatang baru kerana suasananya yang sesuai sebagai tempat berehat dan melepaskan penat lelah setelah seharian mencari nafkah hidup. Kampung ini merupakan kawasan penempatan terdekat pada ketika itu dan persekitarannya masih dipenuhi oleh ladang kelapa sawit, pokok kelapa bali dan ladang getah.[1]