Perhubungan Papar,_Sabah

Jambatan kereta api yang terdapat di bandar ini.

Tahap hubungan ke bandar Papar adalah sangat tinggi memandangkan ia terletak di lebuh raya utama Pan Borneo FT1 yang menghubungkan Kuching, Sarawak hingga ke Tawau, Sabah. Papar dihubungkan secara tidak langsung ke Jalan Persekutuan 1 melalui Jalan Cabang Papar. Walaupun lebuh raya ini cuma terdiri daripada dua lorong, namun ianya adalah laluan utama untuk sampai ke sini. Selain itu, terdapat satu lagi laluan utama ke Papar yang berstatus jalan negeri, iaitu Jalan Pengalat-Lok Kawi A25, tetapi jalan ini hanya sesuai digunakan oleh kenderaan ringan sahaja berikutan kelegaan jambatan kekuda Sungai Papar yang begitu rendah.[7]

Tidak cukup dengan itu, sistem kereta api juga meningkatkan lagi tahap ketersampaian ke bandar ini bersesuaian dengan kedudukannya sebagai pusat stesen utama kereta api selain Tanjung Aru, Putatan, Beaufort dan Tenom.

Mengikut kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada sidang Dewan Undangan Negeri sekitar April 2014, Jalan Lok Kawi-Papar FT1 yang menghubungkan daerah ini dengan daerah Putatan dan Kota Kinabalu akan dinaik taraf kepada standard JKR R5 menjadikannya lebuh raya berkembar dua lorong dua hala, bermula dari persimpangan Lok Kawi menghala sehingga bulatan Benoni. Projek naik taraf tersebut akan dimulakan sebelum akhir tahun 2014 hingga 2017.[8]