Pembunyian Pembunyian

Proses pembunyian berlaku apabila udara dihembuskan dari paru-paru melalui glotis, menyebabkan penurunan tekanan merentasi larinks. Jika tekanan menurun secukupnya, maka lipatan vokal mula berayun. Penurunan tekanan minimum yang diperlukan untuk mencapai pembunyian dipanggil tekanan nilai ambang pembunyian, iaitu kira-kira 2–3 cm H2O bagi manusia yang berlipatan vokal biasa. Pergerakan lipatan vokal ketika berayun selalunya mengikut arah sisian, namun mungkin wujudnya suatu komponen yang lebih penting. Namun begitu, hanya sedikit sahaja pergerakan yang merentasi lipatan vokal. Pengayunan lipatan vokal bertujuan memodulatkan tekanan dan aliran udara melalui larinks, dan aliran udara yang dimodulatkan inilah yang menjadi komponen utama dalam pembunyian kebanyakan fon bersuara.

Bunyi yang dihasilkan oleh larinks ialah siri harmonik. Dalam erti kata lain, bunyi ini terdiri daripada ton asas (iaitu frekuensi asas, iaitu isyarat akustik utama untuk kelangsingan amatan) yang diiringi oleh ton terbitan harmoni yang merupakan gandaan frekuensi asas[1][2]. Menurut Teori Punca-Turas, bunyi yang terhasil merangsang rongga kenyaringan (rongga vokal) untuk menghasilkan setiap bunyi pertuturan individu.[3][4]

Lipatan vokal tidak boleh berayun jika tidak cukup dekat bersebelahannya, menerima ketegangan yang tidak mencukupi atau berlebihan, atau penurunan tekanan merentasi larink tidak mencukupi. Dalam bidang linguistik, sesuatu fon adalah tak bersuara jika tiadanya pembunyian ketika disebut.[4] Dalam pertuturan, fon yang tak bersuara dikaitkan dengan lipatan vokal yang diperpanjangkan, amat tegang, dan terletak di sisian (dilarikan) dari lipatan vokal ketika pembunyian[5].

Frekuensi asas, isyarat akustik utama untuk kelangsingan amatan, boleh diubah dengan pelbagai cara. Perubahan berskala besar dicapai dengan meningkatkan ketegangan dalam lipatan vokal dengan mengecutkan otot krikotiroid. Perubahan lebih kecil dalam ketegangan boleh dilakukan oleh pengecutan otot tiroaritenoid atau perubahan dalam kedudukan realtif rawan tiroid dan krikoid, seperti yang berlaku apabila larinks diturunkan atau dinaikkan, sama ada secara kerelaan atau melalui pergerakan lidah yang terikat pada larinks melalui tulang hioid[5]. Selain perubahan ketegangan, frekuensi asas juga dipengaruhi oleh penurunan tekanan merentasi lariks yang dipengaruhi terutamanya oleh tekanan dalam paru-paru, dan juga berubah mengikut jarak antara lipatan vokal. Variasi dalam frekuensi asas ini digunakan untuk menghasilkan intonasi dan nada.

Terdaapt dua teori utama yang menjelaskan bagaimana getaran lipatan vokal dimulakan, iaitu teori mioelastik dan eori aerodinamik[6]. Kedua-dau teori ini tidak saling bercanggah, sebaliknya mungkin sekali berasas dan bertindak serentak untuk memulakan dan mengekalkan getaran.[7]

Teori mioelastik dan aerodinamik

Teori mioelastik menyatakan apabila pita vokal dirapatkan lalu dikenakan tekanan nafas, pita vokal itu kekal rapat sehingga tekanan di bawahnya, iaitu tekanan subglotis, cukup untuk memisahkannya, membolehkan udara keluar dan mengurangkan tekanan secukupnya untuk anjalan tegangan otot merapatkan balik lipatan vokal tersebut. Berulang-ulang kalinya tekanan terkumpul sehingga pita dipisahkan. Kadar buka tutup pita vokal, iaitu bilangan kitaran sesaat, menentukan kelangsingan pembunyiannya.[7]

Teori aerodinamik adalah berasaskan hukum tenaga Bernoulli dalam bendalir. Teori ini menyatakan apabila searus nafas mengalir melalui glotis sementara rawan aritenoid dirapatkan oleh tindakan otot interaritenoid, terhasilnya kesan tolak-tarik dalam tisu-tisu lipatan vokal yang mengekalkan ayunan sendiri. Tolakan berlaku ketika glotis dibuka, sementara tarikan berlaku ketika glotis ditutup. Ketika glotis ditutup, aliran udara terputus sehingga tekanan pernafasan memisahkan lipatan vokal untuk membolehkan udara keluar, maka berulang-ulangnya kitaran ini.[7]