Sejarah Penjara_Changi

Binaan pertama dan sebagai kem tawanan perang

Tawanan perang Berikat setelah pembebasan Penjara Changi, Singapura – sekitar tahun 1945

Penjara ini asalnya dibina oleh pentadbiran negeri-negeri Selat sebagai tempat penahanan warga awam pada tahun 1936.

Semasa Perang Dunia Kedua berikutan Pertempuran Singapura pada bulan Februari 1942, pihak Jepun menahan sekitar 3000 orang awam dalam penjara ini yang dibina untuk menampung hanya 600 tahanan. Pihak Jepun menggunakan berek Selarang milik Tentera British sebagai tempat penahanan tawanan perang yang termasuk kira-kira 50,000 askar Berikat, kebanyakannya dari Britain dan Australia serta askar Belanda yang dibawa dari pulau-pulau Hindia Timur Belanda (kini Indonesia).[1] Tawanan perang jarang ditahan di dalam penjara orang awam, namun nama Changi menjadi begitu disinonimkan dengan kem tahanan tersebut dalam kalangan warga UK, Australia, Belanda dan negara-negara lain.

Sebanyak kira-kira 850 orang tawanan perang meninggal dunia ketika ditahan sewaktu pendudukan Jepun di Singapura,[2] iaitu kadar yang rendah berbanding kepada keseluruhan kadar kematian 27% untuk tawanan perang di kem-kem Jepun.[3] Bagaimanapun, lebih banyak tawanan perang meninggal setelah dipindahkan dari Changi ke pelbagai kem buruh paksa di luar Singapura, termasuk di Burma dan Sandakan.