Geologi Pergunungan_Zagros

Jaluran lipat tujah Zagros terbentuk daripada berlanggarnya dua plat tektonik iaitu Plat Iran dan Plat Arab. Pelanggaran ini berlaku terutamanya sewaktu zaman Miosen dan melipatkan seluruh batu-batan yang terlonggok dari zaman karbon ke Miosen di dalam geosinklin di hadapan Plat Iran. Proses pelanggaran ini berterusan hingga kini, dan sedangkan Plat Arab ditolak ke atas Plat Iran, maka Banjaran Zagros dengan Penara Iran bertambah semakin tinggi. Sukatan GPS terbaru di Iran[2] mendapati bahawa pelanggaran ini masih giat dan menyebabkan canggaan yang tertabur secara tidak sekata di seluruh negara, terutamanya di jaluran gunung utama seperti Alborz dan Zagros. Sebuah rangkaian GPS yang lebih padat yang meliputi Zagros di sebelah Iran[3] juga membuktikan kadar canggaan yang tinggi di dalam lingkungan Zagros. Hasil GPS menunjukkan bahawa kadar pengecutan sekarang adalah ~10 mm/thn di bahagian tenggara dan ~5mm/thn di bahagian barat lautnya. Sesar jurus-gelincir utara-selatan Kazerun memecahkan banjaran Zagros kepada dua zon canggaan yang saling berbeza. Hasil GPS itu juga menunjukkan arah pengecutan berbeza-beza di sepanjang jaluran, iaitu pengecutan normal di Zagros Tenggara dan pengecutan serong di Zagros Barat Laut.

Litupan endapan di Zagros Tenggara bercangga di atas selapis garam batu (yang bertindak sebagai decollement mulur dengan geseran dasar yang sedikit) sedangkan di Zagros Barat Laut lapisan garamnya tiada ataupun teramat halus. Perbezaan geseran dasar ini sedikit sebanyak menyebabkan perbezaan topografi di kedua-dua belah sesar Kazerun. Topografi yang lebih tinggi serta zon canggaan yang lebih sempit di Zagros Barat Laut, sementara di Tenggara pula canggahan tersebar lebih luas dengan bentukan topografi yang lebih rendah.[4] Tekanan yang tercetus dalam kerak Bumi oleh pelanggaran itu menyebabkan lipatan berlanjutan pada lapisan batuan enapan yang sedia ada. Hakisan selanjutnya menyingkirkan batuan yang lebih lunak seperti batu lumpur (batuan yang terbentuk dengan lumpur memadu) dan batu lodak (batu lumpur yang lebih kasar sedikit butirnya) sambil membiarkan batuan yang lebih lunak seperti batu kapur (batu kaya kalsium yang terdiri daripada tinggalan hidupan laut) dan dolomit (batuan umpama batu kapur yang mengandungi kalsium dan magnesium). Kebezaan hakisan ini membentuk rabung-rabung lurus di Banjaran Zagros.

Persekitaran pengendapan dan sejarah tektonik batuan ini menggalakkan pembentukan dan pemerangkapan petroleum, maka kawasan Zagros adalah sebahagian penting daripada pengeluaran petroleum di Teluk Parsi. Kubah garam dan glasier garam kerap ditemui di Banjaran Zagros. Kubah garam adalah sasaran penting bagi penerokaan minyak kerana garam yang tidak boleh telap itu sering memerangkap petroleum di bawah lapisan batuan yang lain.

Jenis dan usia batu

Banjaran Zagros mempunyai asal-usul yang berasaskan endapan sepenuhnya dan terdiri terutamanya daripada batu kapur. Di kawasan Zagros Ternaik terdapatnya batuan Paleozoik terutamanya di kawasan tertinggi di puncak-puncak Banjaran Zagros yang di sepanjang sesar induk Zagros. Di kedua-dua belah sasar terdapat batuan Mesozoik, iaitu gabungan batuan Zaman Triasik dan Jurasik yang dikelilingi oleh batuan Zaman Batu Kapur di kedua-dua belahnya. Zagros Terlipat (iaitu gunung-ganang di selatan Zagros Ternaik dan hampir selari dengan sesar induk Zagros) rata-rata terbentuk daripada batuan Zaman Tertier dengan batuan Paleogen di selatan batuan Batu Kapur disusuli oleh batuan Neogen di selatan batuan Paleogen.

Banjaran ini terbahagi kepada banyak cabang banjaran yang saling selari (sehingga 10 batang, atau 250 km lebarnya), dan secara orogeni sama umur dengan Alps. Lapangan minyak utama Iran terletak di hilir bukit barat tengah di banjaran Zagros. Banjaran selatan Wilayah Fars agak rendah puncaknya, iaitu mencapai 4000 meter. Ia mengandungi batuan kapur yang memaparkan banyak fosil hidupan laut. Banjaran Kuhrud membentuk salah satu daripada banjaran selari pada jarak kira-kira 300 km di timur. Di kawasan di antara dua maha banjaran ini terletaknya sebuah kependudukan padat manusia yang hidup dalam lembah-lembah pertengahan yang agak tinggi tanahnya dengan iklim yang sederhana. Sungai-sungainya yang berhujungkan tasik garam membuahkan persekitaran yang subur untuk pertanian dan perdagangan.

Zon-zon

Pergunungan ini mengikut pola Barat Laut ke Tenggara. Kawasan luas ini sering dibahagikan kepada dua iaitu Zagros Utara dan Zagros Selatan. Zagros Utara mencakupi wilayah-wilayah Iran yang berikut: Azerbayejan Barat, Kurdistan, Hamedan, Kermanshahan, Ilam, Lorestan, Khuzestan, Chaharmahal va Bakhtiari. Zagros Selatan pula meliputi wilayah-wilayah: Kohgiluye va Buyerahmad, Fars, Bushehr dan Hormozgan.

Dari segi geologinya, Banjaran Zagros terbahagi kepada dua bahagian iaitu Zagros Ternaik dan Zagros Terlipat. Zagros Ternaik membentuk pergunungan timur laut sementara Zagros Terlipat terletak di selatan dan barat Zagros Ternaik. Di sebelah timur, Zagros Ternaik menghadap Tanah Tinggi Pedalaman Banjaran Zagros atau juga dikenali sebagai Zon Sanandej–Sirjan. Zagros Terlipat pula tamat di Teluk Parsi di selatan, Dataran Khuzestan di barat daya dan Mesopotamia di Barat.

Rujukan

WikiPedia: Pergunungan_Zagros http://www.dionysia4u.com http://books.google.com/books?id=Sl8w4FwWi48C&lpg=... http://www.meteovista.com/Middle-East/Iraq/Amedi/4... http://www.peakbagger.com/range.aspx?rid=42 http://www.usfca.edu/westciv/Mesochro.html http://earthobservatory.nasa.gov/Newsroom/NewImage... http://www.livius.org/a/iran/zagros/zagros.html http://www.metmuseum.org/toah/ht/02/wai/ht02wai.ht... //tools.wmflabs.org/geohack/geohack.php?pagename=P... //www.worldcat.org/issn/0081-9271