Manfaat Perjanjian_Perkongsian_Trans-Pasifik

TPPA ialah satu bentuk perjanjian perdagangan bebas yang mempunyai banyak manfaat. Perjanjian ini melibatkan 11 negara yang mewakili 40% daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang bernilai US$107.5 trilion, dan merangkumi 793 juta penduduk.[1] Walaupun perjanjian ini tidak melibatkan China, kawasan bagi negara yang terlibat dalam perjanjian TPPA ini merupakan yang terbesar di dunia, lebih besar daripada kawasan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara atau North American Free Trade Agreement (NAFTA).

Seperti kebanyakan perjanjian perdagangan, TPPA memansuhkan tarif terhadap barangan dan perkhidmatan antara negara anggota yang boleh membawa kepada harga yang lebih murah untuk barangan dan perkhidmatan. Ia juga dijangka akan menghapuskan halangan bukan tarif untuk perdagangan dan mengharmoni dan menyeragamkan undang-undang dan peraturan antara negara anggota.

TPPA meliputi bukan sahaja barangan dan perkhidmatan, tetapi termasuk perkhidmatan kewangan, telekomunikasi malah standard keselamatan makanan. Ia memberi kesan pada dasar dan peraturan dalam negara anggota.

Perjanjian ini dijangka meningkatkan lagi eksport dan pertumbuhan ekonomi, menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya membawa kemakmuran kepada 12 negara yang terlibat. TPPA juga meratakan medan persaingan dengan menggalakkan persaingan dalam ekonomi. Ia juga dapat membantu meningkatkan taraf hidup pekerja dengan penyelarasan standard undang-undang pekerja dan memelihara alam sekitar.