Penerimaan Pitahati

Setelah puluhan kali mengadakan persembahan setakat itu termasuk juga penampilan serta rakaman untuk radio dan TV (RTM, 8TV, TV9), Pitahati dipilih sebagai band pilihan muka depan majalah muzik tempatan ROTTW untuk bulan Februari 2014.

Kira-kira setahun sebelum penakrifan itu, majalah yang sama pernah memberi liputan kepada Pitahati di bawah ruangan Expose untuk isu bulan April 2013, dengan penekanan terhadap “dua jiwa yang membentuk Pitahati”, merujuk kepada gabungan Ilham dan Yasin bersama Masrin dan Zahar dari Ilustrasi.

Dalam tulisan-tulisannya di laman The Daily Seni, bekas pengarang bersekutu dan penyumbang rencana sambilan (juga biografer Butterfingers) Izuan Shah mengulas bahawa Fonetik Anak Candal dan muzik Pitahati secara keseluruhan setakat itu mempunyai “sesuatu kaliber” yang “berjiwa besar”. Penulis/pemuzik itu juga menulis bahawa persembahan langsung Pitahati ketika itu lebih sinematik berbanding teatrikal namun memiliki kualiti yang perlu untuk ke arah teater.

Ahkbar kontemporari Kosmo! pula telah menamakan Fonetik Anak Candal sebagai Album Melayu Terbaik tahun 2014, di samping album Fragmen oleh Datuk Siti Nurhaliza dan Angin Kencang, album solo Noh Salleh dari Kumpulan Hujan. Selain Kosmo!, akhbar harian bahasa Melayu lain yang memberi liputan buat muzik Pitahati termasuk juga Harian Metro.